Kenyataan Idris punca mangsa seksual berdiam diri - JAG
Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad kerana berkata seorang pelakon kanak-kanak tidak sepatutnya membuka aib dirinya sendiri dengan berkongsi dakwaan dia didera secara seksual oleh bapanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata komen Idris yang "menyalahkan mangsa" menyebabkan mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual berdiam diri.
“Kenyataan daripada seseorang yang mempunyai jawatan dan amanah ini amat mengecewakan semua mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual dan berasaskan jantina, dan menyumbang kepada kurangnya pelaporan dan ketakutan untuk bersuara kerana bimbang dihakimi dan tindakan balas,” kata kumpulan itu, sambil menambah bahawa ia hanya mencerminkan normalisasi keganasan yang dialami wanita dan gadis di rumah.
Idris (atas) sebelum ini berkata mengikut ajaran Islam, pelakon kanak-kanak itu tidak sepatutnya mendedahkan penderaan itu secara terbuka.
"Sepatutnya dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya, gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.
"Dia sepatutnya lapor kepada pihak polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu," kata Naib Presiden PAS itu dipetik Berita Harian.
JAG berkata, komen menteri itu juga melanggar Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.
“Jabatan Perdana Menteri, pejabat di mana menteri beroperasi, merupakan pemacu utama dalam memastikan peruntukan dalam SOACA untuk melindungi kanak-kanak dilaksanakan termasuk dengan mengeluarkan "Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak pada Disember 2017.
“Tambahan pula, Akta Kanak-Kanak 2001 mewajibkan ahli keluarga memaklumkan kepada Pegawai Kebajikan Masyarakat jika terdapat kepercayaan munasabah mengenai penderaan seksual.
“Menasihati mangsa yang terselamat dan ahli keluarga untuk mengelak daripada bercakap tentang pengalaman penderaan untuk melindungi pendera adalah percanggahan nyata terhadap nilai teras undang-undang Malaysia dan SOP kerajaan yang bertujuan untuk menghapuskan keganasan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh orang dewasa, termasuk ahli keluarga,” tambah kumpulan itu.
JAG menyorot peningkatan 42 peratus dalam kes penderaan seksual kanak-kanak yang direkodkan antara 2020 dan 2021. Kumpulan itu menambah bahawa kes ini biasanya melibatkan pelaku yang dikenali secara peribadi oleh mangsa.
Justeru, kumpulan itu menuntut Jabatan Perdana Menteri, polis dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat pendirian yang jelas terhadap penderaan.
“Dalam menangani isu ini, kerajaan harus tahu bahawa setiap yang terselamat dan setiap pengundi Malaysia akan mengambil perhatian tentang cara ia memilih untuk melindungi anak-anaknya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan pelakon itu, yang berumur 15 tahun, membuat laporan polis berhubung dakwaan penderaan.
Antara lain, katanya, pengadu berkata dalam ketiadaan ibunya, bapanya membuatkan pelakon itu menonton filem lucah bersamanya.
Tambah Wan Azlan, pelakon itu mendakwa kejadian itu berlaku antara 2013 dan 2017, ketika dia berusia seawal enam tahun.
Kes disiasat kerana pengabaian kanak-kanak dan memiliki bahan lucah.
Pelaku yang didakwa telah ditahan polis di Kedah pada 2.25 petang Selasa lalu.
Dakwaan itu pertama kali dibuat semasa temu bual di Youtube, di mana dia juga menggambarkan dipukul dan dicabul oleh bapanya. Dia juga mendakwa bahawa bapanya beronani di hadapannya.
Bapa pelakon itu dilaporkan membuat laporan polis menafikan dakwaan itu di balai polis Bandar Baharu di Kedah pada Ahad (3 Sept).
Saluran Youtube Bros Gang TV, yang menerbitkan temu bual dengan pelakon itu mengundang kritikan aktivis hak kanak-kanak, yang menuduh mereka mengeksploitasi remaja itu. Pengendali Youtube berkenaan menafikan tuduhan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/f00a649cfe41ed07260b8af02da14627.jpg)
