Pelantikan JC di Sabah akan berdasarkan mekanisme pentadbiran
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin memperkenankan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) di Sabah akan berdasarkan mekanisme pentadbiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Kerajaan Sabah, kata beliau, juga bersetuju dengan Sarawak bahawa perkenan Yang Dipertua Negeri (TYT) perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum cadangan pelantikan itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“TYT (Juhar) juga bersetuju supaya seorang lagi wakil dari Sabah dan Sarawak dilantik ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui sidang video semalam.
Beliau juga membangkitkan isu perlunya pos keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia dipertingkatkan.
Hajiji berkata semasa lawatan kerjanya ke tiga pos keselamatan di sempadan iaitu Burst-Point, Teluk Wallace dan Sungai Melayu di Sebatik, beliau mendapati terdapat keperluan untuk menaik taraf kemudahan di sana.
Ketua Menteri itu berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha berkaitan 40 peratus geran khas untuk Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai permintaan untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat pembentukan Malaysia, Hajiji berkata perdana menteri telah menyatakan cadangan itu akan dibawa ke Kabinet Persekutuan untuk dibincangkan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/f9023d9fbcb61a3c740c6e5fdba171ab.jpg)
