Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agong, PM zahir ucapan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 4:11 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua bertitah baginda akan dikenang oleh Seri Paduka Baginda, kerajaan dan rakyat Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang menjadi kebanggaan Malaysia dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih kukuh antara United Kingdom dan Malaysia.

“Seri Paduka Ratu Elizabeth II juga akan dikenang atas dedikasi baginda kepada rakyat dan kerajaan United Kingdom serta keprihatinan baginda yang mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Ingatan dan doa dititipkan kepada kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai kesedihan atas kemangkatan Seri Paduka Ratu Elizabeth II,” menurut kenyataan itu.

Mengimbau kembali kenangan bertemu Ratu Elizabeth II, Seri Paduka berdua telah berangkat mengadakan kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London pada 13 Dis 2019.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena lawatan khas tujuh hari Seri Paduka ke England yang bermula pada 9 Dis 2019.

Ratu Elizabeth II pernah melawat Malaysia tiga kali pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Sukan Komanwel ke-16).

Terdahulu, dilaporkan Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland semalam.

Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mewakili seluruh Keluarga Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat Diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Beliau berkata baginda yang juga Raja Britain paling lama menduduki takhta, terkenal dengan sifat dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

Menerusi catatan di Facebooknya, perdana menteri berkata jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.

“Saya berharap keluarga Diraja baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi ciapan di Twitternya, Ismail Sabri menyifatkan kemangkatan baginda, benar-benar suatu kehilangan yang amat besar kepada negara Komanwel dan dunia.

Istana Buckingham pada Khamis mengumumkan Ratu Elizabeth II, mangkat pada usia 96 tahun.

Ismail Sabri turut mengirim perutusan takziah kepada rakan sejawatannya di United Kingdom (UK) Elizabeth Truss.

Dalam surat yang dikongsi oleh Pejabat Perdana Menteri itu, beliau berkata baginda akan sentiasa diingati atas pengabdian yang tidak berbelah bahagi.

“Baginda akan dihormati kerana komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel dan sumbangan baginda dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara UK dan Malaysia.

"Ingatan dan doa kami bersama rakyat UK yang sedang berduka cita dan berkabung dalam saat kehilangan ini," catat perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS