Pak Lah hidap penyakit nyanyuk
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu bapa mentuanya, yang juga bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menghidap penyakit nyanyuk atau demensia.
Khairy berkata dia perlu menjelaskan keadaan kesihatan Abdullah kerana ramai yang tidak mengetahuinya.
“Saya juga telah berkongsi pengalaman keluarga saya sendiri… ramai yang dah lama bertanya mana Pak Lah (Abdullah).
“Saya tanya kepada isteri saya dan juga kepada mentua saya, ipar saya, ada yang tak tahu, ada yang tahu. Jadi boleh tak saya bagitahu. Pak Lah memang ada demensia,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur hari ini.
Berhubung prestasi kesihatan Abdullah, Khairy berkata ia dalam keadaan yang agak merosot kerana demensia perdana menteri kelima itu berada di tahap tidak mampu menyebut dengan baik nama ahli keluarganya.
“Kenal tu memang boleh kenal, nampak tu macam boleh nampak tapi dah sampai tahap di mana dia dah susah untuk bercakap.
“Jadi dalam keadaan keluarga kami, mungkin dapat sokongan bantuan daripada jururawat sepanjang waktu dan sebagainya.
“Tapi untuk keluarga lain, mereka mungkin tak mampu dan sebab itulah saya telah maklumkan bahawa kita akan tubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melihat bagaimana kita dapat tingkatkan bantuan supaya social care atau sokongan di peringkat komuniti dapat ditingkatkan, dan bagi keluarga yang tak mampu untuk menggajikan seorang jururawat untuk bersama dengan ahli keluarga yang menghidapnya,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pelancaran majlis tersebut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata di Malaysia semakin ramai yang didiagnosis dengan penyakit seperti skizofrenia dan demensia.
“Tertuamanya demensia. Demensia ni adalah sesuatu yang menyebabkan kemerosotan kepada fungsi kognitif kita dan akhirnya mereka tidak boleh berfungsi seperti normal
dan masalah ini akan bertambah, memandangkan masyarakat kita sudah mula menunjukkan trend menua disebabkan usia rakyat penduduk Malaysia,” katanya.
Oleh itu, katanya negara bukan sahaja memerlukan pelaburan dalam bidang klinikal, dengan menambah lebih ramai pakar dalam bidang tersebut, tetapi menumpukan dari peringkat bantuan ahli-ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut.
“Di sini kita boleh belajar daripada negara luar seperti United Kingdom, di mana sistem social care mereka amat maju dan mereka boleh hantar social care worker untuk hantar dan beri sokongan kepada ahli-ahli keluarga yang menghidap masalah demensia dan masalah yang menyebabkan mereka tak boleh berfungsi dengan normal,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/a96481015a3a938a08962ee050734186.jpg)
