Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak mustahil, mak saya dari Kedah, kata KJ
Diterbitkan:  Sep 12, 2022 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata dia berada di Kedah hari ini untuk berbincang dan berunding bertanding di kerusi Parlimen dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana ibunya berasal dari Kedah. Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada ada mana-mana negeri telah menawarkannya sebarang kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Hari ini saya berada di sini (Langkawi) untuk berbincang dan berunding dengan Menteri Besar Kedah.

"Mak saya dari Kedah," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini semasa pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.

Majlis perasmian itu disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Menurut portal itu, Muhammad Sanusi yang berada di sisinya pada sidang itu turut mencelah dengan berkata, "Dialu-alukan... tadi dengar sebut Aloq Setaq, Aloq Setaq, cakap Kedah elok dah."

Khairy kemudian dilihat tidak mahu memanjangkan isu itu dan menamatkan sidang media dengan berkata "Tak apalah."

Pada 4 Sept lalu, Khairy dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 bagi memberikan laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Mohamad adalah ketua Umno Bahagian Rembau manakala Khairy pula adalah timbalannya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin lain, seperti ahli majlis tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican menyifatkan satu kerugian jika Khairy tidak bertanding.

Lihat Komen
ADS