Pemimpin Bersatu yakin PAS komited dengan PN
Ahli Majlis tertinggi Bersatu Eddin Syazlee Shith berkata PAS komited kepada Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan mengadakan pakatan lain dengan Umno.
Utusan Malaysia memetik Eddin berkata PAS adalah sebahagian daripada pelancaran jentera pilihan raya PN bulan lalu dan parti itu tidak pernah memaklumkan kepada majlis pimpinan PN tentang hasrat mereka untuk bekerjasama dengan Umno.
"Kita sudah lancarkan jentera PN, takkanlah PAS mahu kerjasama dengan Umno lagi.
"Saya tidak fikir ahli-ahli PAS tidak mengikuti keputusan yang telah dipersetujui bersama parti komponen PN,” katanya
Eddin berkata dia faham bahawa perbincangan mengenai "kerjasama" PAS-Umno tidak sama dengan pakatan pilihan raya.
"Terjemahan kerjasama ini boleh dalam pelbagai cara, dan bagi saya, saya yakin apa yang disebut itulah dia. Kalau PAS mahu mengekalkan hubungan dengan Umno tiada masalah untuk saya.
“Yang saya tahu, untuk berdepan pilihan raya nanti PAS memang bersama Bersatu dalam PN.
"Namun, terlalu awal kita menjangkakan semua kemungkinan ini. Tetapi, apabila Umno sendiri tidak menyambut saranan PAS, ini kena fikir sendirilah,” katanya.
Pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya Abdul Hadi Awang telah berulang kali mendakwa mereka sedang berbincang dengan Umno.
Bagaimanapun, pemimpin Umno berkali-kali menafikan perkara ini.
Pada awal tahun ini, Umno Selangor menyuarakan idea untuk bekerjasama dengan PAS tetapi tiada perkembangan lanjut sejak itu.
Pemimpin Umno telah menetapkan syarat bahawa sebarang kerjasama dengan PAS mesti didahului dengan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
/file/1281/1f0fb8bd18da516c606d76a605ae245a.jpeg)
