Kerjasama PH-Muda strategi yang baik, kata Dzulkefly
Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad percaya usaha Muda untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 adalah strategi taktikal yang baik.
Dr Dzulkefly berkata parti komponen dalam PH perlu bekerjasama dengan parti yang seiringan dan mempunyai misi, visi serta tujuan perjuangan yang sama.
"Kita sudah nyatakan bahawa parti komponen mesti memperkukuhkan segera PH dengan menumpukan kepada kerja mendekati dan menyantuni rakyat dan pengundi.
"Isu seperti ini perlu dibincangkan secara baik di belakang tadbir menerusi proses perbincangan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Dr Dzulkefly menyorot bahawa PH dan Muda mempunyai matlamat yang sama iaitu pembinaan semula negara khususnya dari segi ekonomi, tadbir urus dan memerangi salah guna kuasa dan rasuah.
Dr Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor menambah, kemungkinan tiada parti boleh berdiri sendiri pada PRU akan datang.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata Muda berminat untuk menyertai PH dan rundingan tidak rasmi dengan kepimpinan gabungan sudah bermula.
Walaupun sebilangan ahli politik PH menyatakan kebimbangan terhadap usaha Muda untuk menyertai gabungan itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim kemudiannya berkata mereka akan membincangkan permohonan Muda.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/273edd065fec8eb7289987e68ae37ad8.jpg)
