Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 83 peratus perkara disepakati MOU k’jaan-PH berjaya dilaksanakan
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 12:43 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Lebih 83 peratus perkara yang disepakati dalam Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) berjaya dilaksanakan.

Pengarah Komunikasi PH yang juga ahli Jawatankuasa Pemandu MOU itu, Fahmi Fadzil, berkata semua ini adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih stabil selain membuktikan kepada rakyat yang PH mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat.

“Hasilnya, beberapa pindaan perlembagaan telah dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MOU ini.

“Jika semua transformasi ini boleh dicapai melalui MOU ini, bayangkan betapa banyaknya transformasi dan reformasi institusi yang boleh dilakukan sekiranya peluang dan mandat rakyat diberikan sekali lagi kepada PH,” katanya dalam satu kenyataaan.

Dia seterusnya menyenaraikan tujuh kejayaan hasil pencapaian MOU itu.

Antaranya, termasuk pembentangan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai lalu dan pewartaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik yang telah diwartakan secara rasmi dan mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.

Fahmi juga menyebut tentang pemberian moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah (B50) yang merupakan satu kemenangan kepada rakyat.

“Pembaharuan Parlimen telah menjadi salah satu daripada enam transformasi utama dalam MOU ini dan antara pencapaian utama yang dapat dilihat ialah melalui pemerkasaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan penyertaan yang lebih seimbang di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Hasil MOU ini juga, sesemua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang dirangkumi MOU ini menerima peruntukan yang sama, demi menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat,” katanya.

Selain itu, tuut dimeterai adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kebebasan badan kehakiman supaya tiada sebarang campur tangan daripada sebarang pihak.

MOU dengan kerajaan persekutuan itu ditandatangani pada 13 September tahun lalu, bagi membentuk kerjasama dwipartisan ke arah reformasi institusi negara.

Lihat Komen
ADS