PH yakin mampu sapu bersih kerusi di Hulu Selangor
Jawatankuasa Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Hulu Selangor yakin akan dapat mempertahankan kerusi parlimen di situ serta memenangi tiga kerusi dewan undangan negeri yang bakal ditandingi gabungan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam kenyataan bersama, jawatankuasa itu berkata keyakinan tersebut dibuat bersandarkan suasana semasa politik negara serta pertambahan pengundi baru di kawasan Hulu Selangor yang memberi kelebihan kepada PH.
"Kajian lapangan oleh Jawatankuasa Penyelaras PH Hulu Selangor mendapati pengundi masih tidak melupakan pengkhianatan PN dan BN kepada mandat rakyat semasa Langkah Sheraton.
"Rata-rata pengundi Hulu Selangor sudah bersedia untuk menghukum PN dan BN kali ini.
"Mereka sedar pada realitinya PH adalah pilihan terbaik yang mampu membawa kestabilan berbanding PN dan BN yang sering bergaduh," kata kenyataan berkenaan.
Jawatankuasa itu dipengerusikan penyelaras PH Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, serta dianggotai Adun Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong dan Pengerusi Amanah Hulu Selangor, Abu Musa Mokhtar, selaku timbalan pengerusi, serta Saifuddin Shafi (penyelaras PH DUN Batang Kali) dan Mohd Amran Sakir (penyelaras PH DUN Hulu Bernam).
Untuk rekod, pada PRU ke-14, PH memenangi kerusi parlimen Hulu Selangor selepas calon PKR June Leow Hsiad Hui mengalahkan penyandangnya, P Kamalanathan.
DAP pula mengekalkan kerusi DUN Kuala Kubu Baru menerusi Lee, manakala sementara Mohd Amran kalah kepada Rosli Sohar (BN) di DUN Hulu Bernam dengan majoriti 20 undi.
Di DUN Batang Kali, calon Bersatu Harumaini Omar menang di bawah tiket PH namun meninggalkan gabungan tersebut dan menyertai Pejuang.
Menurut jawatankuasa berkenaan, peningkatan pengundi baru daripada 100,990 orang pada PRU ke-14 kepada 156,442 sekarang memberi kelebihan kepada PH.
"Pengundi baru khususnya pengundi muda lebih mengutamakan masa depan mereka dan lebih banyak meluangkan masa di media sosial.
"Mengambil kira aspek ini, PH dilihat 'menguasai' media sosial dalam meraih undi berbanding BN dan PN lebih cenderung menggunakan cara konservatif.
"Justeru, bagi menggembleng kekuatan gerak kerja PRU, pelancaran jentera pilihan raya akan diadakan pada 8 Okt ini di Auditorium Dewan Dato' Abdul Hamid Batang Kali mulai jam 8.30 malam," kata mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/58b444e506e20a2c3cdb272a098ed047.jpg)
