Dakwa pegawai PM berpakaian mahal, polis tangkap seorang individu
Dikemas kini dengan perintah reman tiga hari.
Polis menangkap seorang penolong pengurus syarikat minuman berusia 48 tahun di Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung hantaran media sosial, yang mendakwa setiausaha sulit Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggayakan barang kemas dan pakaian mahal.
Peguam Latheefa Koya yang mewakili lelaki itu berkata, anak guamnya ditahan di rumah ibunya di Lembah Pantai kira-kira jam 10 malam tadi dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya.
Menurutnya, pegawai penyiasat berkata polis membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah.
Mereka juga memohon perintah reman empat hari terhadap lelaki itu.

Latheefa juga mempersoalkan keperluan polis untuk membuka siasatan jenayah kerana ia adalah perkara sivil, selain mempersoalkan permohonan reman terhadap anak guamnya.
"Polis tidak perlu meminta perintah reman terhadap anak guam saya, kerana dia telah memberi kerjasama.
“Mereka boleh rekod saja kenyataannya," kata bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasiah Malaysia (SPRM) itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini difahamkan bahawa polis memperoleh perintah reman tiga hari daripada majisteret.
Setakat ini belum jelas sama ada polis memperoleh perintah reman daripada majistret.
Latheefa turut mengecam polis kerana menggunakan sumber untuk menyiasat kes sivil antara dua individu.
Dia berkata tuduhan sedemikian terhadap setiausaha sulit perdana menteri bukan soal keselamatan negara.
"Sesiapa yang terkilan dengan apa-apa posting yang mereka berpendapat tidak benar atau fitnah, maka, mereka harus mengambil tindakan sivil."
Media telah menghantar permintaan kepada polis untuk mendapatkan ulasan mengenai penahanan itu.
/file/1034/77dddeff8e48ba3ee8f8fb814aa9b997.jpg)
