Suhakam digesa rangka garis masa untuk ratifikasi Icerd, Statut Rom
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa mengadakan mesyuarat tergempar untuk merangka program khas dan menetapkan garis masa untuk Malaysia meratifikasi perjanjian antarabangsa berkaitan hak asasi.
Perjanjian itu termasuk Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Perkauman (Icerd) dan Statut Rom.
Gesaan itu dibuat oleh ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang susulan penjelasan pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad kepada Malaysiakini bahawa dia tidak menentang Statut Rom.
“Dalam program Suhakam ini, pesuruhjaya Suhakam perlulah mengadakan kempen untuk mendidik rakyat Malaysia, termasuklah semua parti-parti politik, untuk memahami yang ratifikasi enam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa ini (termasuklah Icerd dan Statut Rom) tidak mempunyai apa-apa agenda anti-Melayu, anti-Islam, atau antiraja,” katanya.

Statut Rom yang diratifikasi oleh 123 negara adalah perjanjian untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang memberi fokus terhadap penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Rahmat dalam wawancara yang disiarkan pada 12 September berkata doa menulis kertas bantahan ratifikasi Malaysia kepada Statut Rom pada 2019 disebabkan persiapan yang diperlukan masih belum selesai ketika itu.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Lim mengingatkan bahawa daripada 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hanya Malaysia dan Brunei yang belum meratifikasi Icerd.
“Berapa lamakah yang diperlukan oleh Rahmat Mohamad untuk meyakinkan majoriti rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik dalam negara, bahawa ratifikasi keenam-enam perjanjian hak asasi manusia antarabangsa dan Statut Rom ini tidak bersifat anti-Melayu, anti-Islam, dan antiraja?”
Kesemua konvensyen antarabangsa yang dirujuk oleh Lim itu ialah:
Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman;
Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik;
Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial, dan Budaya;
Konvensyen PBB menentang Penyeksaan;
Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Hak Pekerja Migran dan Ahli Keluarga mereka; dan
Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang daripada Penghilangan Paksa.
/file/1305/4ce54ff0a7d52ff047853d9da61822f6.jpeg)
