Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zaid Ibrahim masuk Umno balik
Diterbitkan:  Sep 16, 2022 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya menyertai semula Umno dengan hasrat untuk bersama melaksanakan reformasi parti itu dari dalam.

Peguam kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata, dia menyerahkan borang keahliannya semasa taklimat khas Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, 27 Ogos lalu.

Zaid berkata, dia menyertai kembali Umno kerana berhasrat untuk membantu parti itu kerana mempunyai masa terluang selepas bersara.

"Niat saya hanya untuk membantu Umno. Saya sudah bersara dan saya tidak banyak kerja.

"Saya tidak terlalu sibuk dan saya kembali ke parti, saya boleh membantu," katanya seperti dipetik The Star.

Zaid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ceramah anjuran BN Johor Baru di Balairaya Stulang Baru hari ini.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu mula menyertai Umno pada 2000. Dia bertanding dan memenangi kerusi parlimen Kota Bharu pada pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun pada tahun 2008, Umno menggantung keahliannya.

Pada 2009, Zaid menyertai PKR tetapi meletak jawatan daripada parti itu setahun kemudian.

Dia kemudiannya menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pada 2010 tetapi meletak jawatan sebagai presiden pada 2012.

Selepas Kita, Zaid menyertai DAP pada 2017 tetapi ia hanya bertahan selama kira-kira tiga tahun, sebelum meninggalkan parti politik keempatnya itu pada 2020.

Mengulas lanjut Zaid berkata, dia ingin melihat Umno melakukan transformasi dan lebih terbuka untuk melakukan pembaharuan.

“Akhirnya, saya rasa lebih baik saya bersama Umno walaupun reformasi itu mungkin mengambil masa yang lama,” katanya.

Lihat Komen
ADS