Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pinda perlembagaan untuk gugur segera kelayakan Najib sebagai MP’

Sekumpulan NGO mendesak kerajaan memansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak kekal sebagai anggota parlimen sehingga permohonan pengampunan diraja selesai.

Empat kumpulan itu menggesa Perkara 48(4)(c), yang menyatakan bahawa kehilangan kelayakan hanya akan berkuat kuasa selepas petisyen pengampunan dibereskan, dimansuhkan.

Kenyataan media itu dikeluarkan oleh aktivis hak asasi manusia Charles Hector bagi pihak Aliran, Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) and Workers Hub for Change (WH4C). 

“Kami berpendirian bahawa ahli parlimen yang disabitkan atas kesalahan jenayah seperti Najib patut dihilangkan kelayakan sebagai anggota parlimen selepas semua rayuan terhadap sabitan kes selesai,” kata Hector.

Hector daripada Madpet berkata, rakyat Malaysia telah menunggu selama empat tahun selepas Najib didakwa kali pertama di mahkamah pada  Julai 2018 dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Katanya, tiada lagi kewajaran yang munasabah untuk menangguhkan kehilangan kelayakan itu selepas proses rayuan berakhir, walaupun permohonan pengampunan diraja difailkan kemudiannya.

“Pengampunan diraja itu tiada kena mengena dengan fakta bahawa anggota parlimen tersebut telah dibuktikan bersalah melebihi keraguan munasabah, disabitkan dan dijatuhi hukuman,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Dia sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang perlu dibayar sebelum selesai menjalani hukuman.

Dia memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September.

Lihat Komen
ADS