Semua anggota badan kehakiman akan dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini adalah antara keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dalam mesyuaratnya hari ini.

"Mesyuarat turut bersetuju agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk ahli badan kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

"Perincian kod etika baru ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang," kata Ismail dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkukuh mekanisme pengisytiharan aset bagi anggota pentadbiran, ahli parlimen dan senator bagi meningkatkan kredibiliti dan integriti kerajaan.

"Satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jawatankuasa khas kabinet itu juga bersetuju untuk meminda Akta Audit 1957 bagi memperkukuh profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan ketua audit negara.

Pindaan ini adalah melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatan ketua audit negara dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan persekutuan atau perkhidmatan negeri.