Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ulangi pendirian enggan bubar DUN jika PRU tahun ini
Diterbitkan:  Sep 20, 2022 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

PAS setakat ini kekal dengan pendirian tidak akan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) di negeri yang dikuasainya, kata naib presiden parti itu, Idris Ahmad.

Menurut senator itu PAS masih berpendapat tidak ada keperluan untuk kerajaan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) diadakan semasa musim banjir.

Idris menjelaskan mengadakan PRU semasa musim banjir hanya akan menyusahkan banyak pihak termasuk urusan mengendali PRU.

"Bagi tiga negeri dikuasai PAS, kita tidak akan bubarkan DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga habis penggalnya Mac tahun depan," katanya dipetik BH Online di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Idris menyatakan pendirian tersebut adalah terpakai setakat ini.

"Tidak tahulah kalau ada keputusan lain selepas ini," katanya lagi.

Penegasan Idris itu bukanlah yang pertama kali dizahirkan PAS. Pada 30 Ogos lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sudah menyatakan DUN di tiga negeri terbabit tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023.

Kata Takiyuddin, buat masa ini penumpuan lebih perlu diberikan kepada pemulihan kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian dan kesihatan.

Kenyataan Idris itu muncul beberapa hari selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan PRU ke-15 akan diadakan "tidak lama lagi". Namun naib presiden Umno itu tidak menyatakan tarikh sebenar rancangannya.

Pada masa sama Ismail Sabri juga didesak oleh pemimpin kanan partinya untuk segera membuka ruang kepada pelaksanaan PRU ke-15. Antara yang lantang membuat gesaan itu ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Selain wakil Umno, kabinet Ismail Sabri Yaakob turut dianggotai pemimpin PAS dan Bersatu. Persetujuan kabinet diperlukan sebelum ahli parlimen Bera itu boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen.

Lihat Komen
ADS