Wanita MCA Sabah: Kenyataan Chin Huat keterlaluan
Ketua Wanita MCA Sabah Pamela Yong menyifatkan kenyataan penganalisis politik Wong Chin Huat yang mendakwa bahawa ramai rakyat Sabah dan Sarawak ingin kedua-dua negeri itu “ditendang keluar” dari Malaysia adalah kenyataan yang keterlaluan.
Yong berkata meskipun Perlembagaan Persekutuan menyokong kebebasan bersuara, tetapi dia memberi amaran supaya Wong tidak mengeluarkan kenyataan yang mengganggu gugat keharmonian masyarakat serta kestabilan negara, terutamanya apabila negara baru sahaja menyambut Hari Malaysia.
“Benar, Chin Huat sebagai penganalisis politik sememangnya bebas serta berhak untuk bersuara dan melontarkan pandangannya.
“Namun, dia tidak mempunyai locus standi atau sepatutnya mewakili kami rakyat Sabah dan Sarawak.
“Lebih baik sekiranya dia menyokong hujahnya dengan apa-apa kaji selidik terperinci yang dilakukan oleh dia sendiri mahupun agensi lain yang berwibawa, sebagaimana lazim beliau lakukan ketika berhujah atau mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Wong dalam satu hantaran di Facebook berkata ramai rakyat Sabah dan Sarawak berharap agar negeri mereka keluar daripada Malaysia, sama seperti yang berlaku pada Singapura.
Kecewa dengan kenyataan Wong, Yong berkata Wong sering mengeluarkan idea-idea yang bernas kepada masyarakat tetapi dia terkejut dengan tulisan Wong kali ini.
“Namun, saya sedikit kecewa dan agak terkejut apabila membaca tulisan dia yang seolah-olah cuba menyemai kebencian dan mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat majmuk,” katanya.
Semarak sentimen kenegerian
Kenyataan Wong itu turut dikecam oleh Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang berkata Wong sewajarnya mengetahui kenyataannya itu berisiko menyemarakkan sentimen kenegerian dan melunturkan semangat kebangsaan.
Khaled turut menyifatkan kenyataan itu sebagai sangat “antinasional, anti Perlembagaan dan tidak patriotik” kerana berpandangan bahawa isu-isu besar di kedua-dua negeri tersebut harus diselesaikan dengan lebih berkesan.
“Malah dia menyarankan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggesa dan menuntut perkara-perkara yang kononnya bersifat Borneo seperti sekularisme, kemajmukan dan pengurangan kuasa pusat.
“Sedangkan perkara-perkara ini bukanlah sesuatu yang eksklusif kepada Malaysia Timur atau tidak dihormati dan diangkat di negara kita,” kata Khaled semalam sebagai respons balas di Facebook.

Wong dalam penjelasannya hari ini berpendapat bahawa sebagai saintis politik, dia sering mengambil pendekatan bentuk soalan yang menstimulasikan minda (thought-provoking).
"Untuk mengatasi mentaliti 'pengasingan diri' ini, penyelesaiannya ialah memupuk penyertaan dan pembinaan 'rasa milik' (sense of ownership)
"Maka, saya menggunakan kaedah reverse psychology untuk mengajak mereka yang inginkan pemisahan bermula dengan fikirkan dan utarakan aspirasi Malaysia yang mereka inginkan.
“Daripada merungut wilayah-wilayah Borneo telah di-Malayakan, mereka harus cuba mem-Borneokan Malaya,” katanya.
Katanya, dengan cara itu, satu penyelesaian yang tuntas dapat dicapai bersama meskipun kedua-dua pihak mempunyai idea yang berbeza.
Tambahnya, idea tulisannya itu tercetus ketika salah seorang rakan baiknya meluahkan perasaan berhubung kesukaran mencari penyelesaian tentang peruntukan kerusi veto di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Rakannya itu kemudian mengatakan,; "lebih baik Malaya menendang keluar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia seperti apa yang mereka lakukan terhadap Singapura."
"Sentimen seperti begini memang lumrah di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Ia tidak akan hilang kalau kita berdiam-diam dan tidak membalasnya, atau menafikan kewujudan. Malah, ia akan berkembang jika dibiarkan.
“Sudah tentu balasan boleh mengambil pelbagai pendekatan dan wacana yang berbeza keberkesanan mengikut keupayaan dan konteks masing-masing,” kata Wong.
/file/1357/e25b16657e33e69a5be1a7017f7ffc5c.jpeg)
