Timbalan Pengerusi MCA Johor Lim Pay Hen menasihati pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang ‘cermin diri sendiri’ terlebih dahulu sebelum melempar kritikan terhadap orang lain.

Pay Hen menyifatkan Kit Siang sebagai ahli politik yang paling tidak boleh dipercayai selepas pemimpin DAP itu menafikan akan bertanding di parlimen Bakri.

"Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan Umno negeri Johor, Hasni Mohammad telah mendakwa bahawa adanya desas-desus yang mengatakan veteran DAP Lim Kit Siang akan bertanding di kerusi Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

"Kit Siang telah menafikan perkara ini, dan menuduh Hasni menyebar berita palsu.

"Saya ingin menasihati Kit Siang supaya ‘cermin diri sendiri’ terlebih dahulu sebelum melempar kritikan terhadap orang lain. Ini kerana Kit Siang sudah berkali-kali membuktikan diri sebagai penyebar berita palsu dan tidak menepati janjinya.

“Malah, boleh dikatakan beliau adalah ahli politik yang paling tidak boleh dipercayai di Malaysia," katanya.

Pay Hen mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa Hasni menyebarkan maklumat salah dengan berkata dia akan bertanding di Bakri dalam PRU15.

Kelmarin, Hasni semasa melancarkan jentera pilihan raya veteran Umno di Pagoh dilaporkan berkata mesyuarat DAP baru-baru ini memutuskan Lim bertanding di Bakri.

Hasni justeru berkata perkara itu memberi kelebihan kepada Umno untuk merampas semula kerusi yang kini disandang oleh bekas menteri Pakatan Harapan (PH) Yeo Bee Yin.

Susulan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata dia tidak tahu daripada mana Hasni mendapat maklumat itu.

Bagaimanapun, katanya, ia membuktikan Hasni sebagai seorang pemimpin politik dan perancang strategi yang teruk.

Sementara itu, Pay Hen yang juga ahli Dewan Negara berkata rakyat Malaysia tentu masih ingat semasa Kit Siang mencabar Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada Mei 2019 lalu.

Pay Hen berkata, Kit Siang ketika itu berjanji akan bersara daripada politik kalau Dr Mahathir Mohamad tidak memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Melihat kepada realiti hari ini di mana Mahathir tidak memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri, adakah Kit Siang mengotakan janjinya untuk bersara daripada politik?

"Sikap beliau yang sering bertukar-tukar kerusi dalam pilihan raya juga menyerlahkan lagi betapa tidak konsistennya Kit Siang, sehinggakan penduduk di kawasan yang ditandinginya sering mengadu ke mana hilangnya wakil rakyat mereka," katanya.

Untuk rekod, pada 20 Mac lalu, Kit Siang mengumumkan persaraannya dari dunia politik.

Kit Siang menarik diri daripada pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP serta tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan datang.