Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU ketika banjir? Manusia ikhtiar, tuhan tentukan - Wee
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 9:37 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata semua pihak harus bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diadakan ketika musim banjir.

"Manusia berikhtiar dan tuhan yang mententukan.

"Kalaulah ditakdirkan, lets say parlimen bubar hari ini, ada tempoh 60 hari (untuk adakan PRU).

"Ini kalau betul-betul berlaku banjir - apa-apa bencana sekalipun, kalau telah diumumkan tarikh, kita terpaksa berdepan dengan keadaan itu

"Jadi bagi kita, sama ada diumumkan hari ini atau bila pun, itu kita tunggu isyarat," katanya ketika ditanya pemberita mengenai pendirian MCA mengenai kemungkinan PRU diadakan pada musim tengkujuh.

Kata Wee, tiada sesiapa tahu dalam tempoh 60 hari berkenaan sama ada akan berlaku banjir kilat atau banjir besar.

"Saya tak nak buat andaian kita sengaja nak letak satu tarikh supaya (ketika) banjir dan kita berdepan dengan PRU, ini bukan seperti itu, saya mahu ia jelas.

"Saya rasa tak kira hujan, panas ataupun cuaca terik - kalau wisel dah dibunyikan semua parti rasa terpanggil untuk berdepan (PRU).

"Kita takkan tahu apa berlaku selepas itu - sama ada berlaku malapetaka atau bencana apa sekalipun kita berdepanlah,” katanya kepada pemberita di Bangsar hari ini, berdasarkan rakaman video The Star .

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian MCA sekiranya PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh.

Beberapa pemimpin BN sebelum ini menggesa PRU diadakan segera walaupun berdepan risiko banjir, yang menyebabkan kritikan sesetengah pihak sama ada dari luar mahupun dari dalam BN sendiri.

Untuk rekod, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN bersedia mengharungi banjir ketika berkempen telah disalahtafsirkan.

Menurutnya, kenyataan Zahid merujuk kepada kesediaan jentera pilihan raya BN menghadapi PRU dalam keadaan apa sekali pun.

Sementara itu, Wee memberitahu pemberita bahawa kabinet telah membincangkan secara panjang lebar mengenai persiapan menghadapi banjir.

Menteri pengangkutan itu berkata, banjir besar dijangka menjelang akhir tahun dan persiapan awal sedang dibuat dengan lebih 6,000 pemindahan sementara telah diwartakan.

Menurutnya, kabinet juga telah membincangkan mengenai persiapan untuk menghadapi PRU.

"Persediaan perlu dibuat di samping kita hadapi PRU. Apapun saya rasa tarikh untuk PRU hanya dapat diketahui selepas PM buat keputusan

"Kita serah kepada PM dan apa juga persediaan untuk PRU memang perlu berjalan. Kita tak tahu bila tetapi kita buat secara serentak, berdepan PRU, berdepan banjir, sama ada tahun ini atau tahun depan, kita tunggu isyarat sahaja," katanya.

Lihat Komen
ADS