Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah lepas tanpa bebas Azeez Rahim
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 5:12 AM
Dikemaskini: 7:27 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon agar Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh telah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

"Mahkamah berpendapat setiap kes perlu dibezakan berdasarkan fakta dan isu utama adalah kuasa budi bicara di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah sama ada perintah DNAA atau DNA patut diberikan terhadap tertuduh. Dalam menjalankan kuasa itu mahkamah perlu mengimbangkan kepentingan awam dan hak tertuduh sendiri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan.

"Mahkamah membuat perintah DNAA di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selepas berpuas hati alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kukuh dan memuaskan. Oleh itu mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan itu," katanya semasa sebutan kes itu.

Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018.

Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Azura dalam penghakimannya berkata pada tahap ini pihak pendakwaan boleh menyempurnakan siasatan berdasarkan bukti baharu berikutan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

"Perbicaraan kes ini telah bermula dan tidak boleh disimpulkan bahawa pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan kes ini," kata hakim itu.

Terdahulu, Aslinda berkata Abdul Azeez melalui peguamnya mengemukakan beberapa representasi kepada pihak pendakwaan yang memohon supaya kes terhadap ahli politik itu ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

"Di dalam surat representasi itu pihak pendakwaan menerima enam akuan bersumpah daripada saksi-saksi pendakwaan. Ekoran itu, siasatan menyeluruh dan teliti harus dilakukan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan wujud bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

"Berikutan itu pihak pendakwaan memohon agar satu perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan terhadap Abdul Azeez mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez mengesahkan perkara itu dan memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu.

"Kami telah mengemukakan beberapa akuan berkanun individu yang boleh membantu siasatan serta pembelaan tertuduh. Fakta ini tidak dinafikan dan berdasarkan akuan berkanun itu kami percaya bahawa pembelaan Abdul Azeez ada merit," katanya.

Pada 5 Sept lepas, Abdul Azeez gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan sembilan pertuduhan selepas memutuskan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau tidak cacat dan memerintahkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen diteruskan.

Bagaimanapun panel itu membenarkan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu bagi membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan kes itu bermula 19 Ogos 2020 dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS