Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
8 pemimpin Umno sertai rombongan PM ke New York
Diterbitkan:  Sep 24, 2022 3:19 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Penyertaan lapan pemimpin Umno termasuk di peringkat bahagian dalam rombongan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, ke New York, mencetuskan persoalan kepada sesetengah pihak.

Naib presiden Umno itu berlepas ke bandar raya berkenaan pada 21 Sept bagi menyertai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

Menurut sumber Umno, pada awalnya seramai 10 pemimpin parti itu dikatakan akan menyertai rombongan tersebut. Antara mereka ialah termasuk Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, dan setiausaha agung parti terbabit, Ahmad Maslan.

Bagaimanapun Khaled dan Ahmad tidak menyertai rombongan tersebut.

Turut tidak menyertai rombongan itu Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga ketua Umno Baling.

Lapan pemimpin Umno yang berlepas ke AS bersama naib presiden mereka itu ialah Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Ab Rauf Yusof; Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said; Ketua Umno Tanjung Piai, Jefridin Atan; Ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Othman Aziz.

Keberadaan para pemimpin Umno itu di bandar raya New York diketahui umum apabila mereka sendiri menguar-uarkannya melalui hantaran di media sosial. Antara pemimpin yang memuat naik gambar masing-masing di Facebook ialah Wan Rosdy, Ab Rauf, dan Jefridin.

Penyertaan pemimpin Umno dalam rombongan Ismail Sabri itu mengundang spekulasi kerana ia berlaku ketika pemimpin utama parti berkenaan mendesak perdana menteri supaya segera mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Ketiadaan Khaled dalam rombongan perdana menteri ke New York disahkan bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad.

Perbelanjaan tanggung sendiri

Malah melalui hantarannya di media sosial, Shahrir turut menyelitkan sindiran dalam pujiannya kepada Khaled serta Ahmad yang juga pemimpin Umno Johor.

"Takkan mesyuarat war room Umno Malaysia diadakan di New York sempena UNGA.

"Tak betullah berita di medsos (media sosial) kononnya naib presiden kita, Khaled Nordin, dan SUA Ahmad Maslan pergi ke New York.

"Tahniah kerana meletakkan kerja parti di atas syiok sendiri berada di New York," katanya.

Khaled merupakan bekas menteri besar Johor, manakala Ahmad kini ahli parlimen Pontian.

Shahrir memuat naik kenyataan itu diiringi hantaran media sosial Khaled yang menunjukkan beberapa pemimpin kanan Umno mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, meminta Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan kos yang ditanggung untuk membawa pemimpin Umno terbabit ke AS dan kewajaran mereka menyertai rombongan tersebut.

"Rombongan PM ke UNGA di New York dikatakan seramai hampir 30 orang termasuk pimpinan Umno .

"Naik private jet (kapal terbang peribadi). PMO mesti jawab secara rasmi kos rombongan Umno ini. Umno is Umno," katanya dalam ciapan di Twitternya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas pemimpin Umno yang menyertai rombongan itu, namun setakat ini belum menerima sebarang respons daripada mereka.

Sementara itu sumber kerajaan mengesahkan penyertaan pemimpin Umno dalam rombongan perdana menteri namun sebahagian besar daripada mereka adalah kakitangan PMO.

"Perbelajaan tetamu perdana menteri semua ditanggung mereka sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS