Ramasamy gesa PH terima PSM untuk hadapi PRU15
Pakatan Harapan (PH) wajar bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam perjuangannya untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-15 (PRU15), kata seorang pemimpin DAP.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, pandangan itu dibuat kerana secara ideologinya, PSM tidak banyak berbeza daripada parti komponen PH seperti DAP dan PKR.
"PSM adalah parti sosialis, sementara DAP memeluk fahaman sosialisme demokratik. Dengan kata lain, kemajuan sosialisme melalui proses parlimen berbanding sosialisme revolusi.
"Walaupun PSM adalah parti 'berasaskan kelas' yang menekankan pembebasan eksploitasi kelas melalui pendidikan, kesedaran, dan pergolakan, DAP sangat menumpukan kepada persoalan nasional - sama ada rakyat negara dilayan secara sama rata dan adil tanpa tunduk kepada etnik dan perbezaan agama," kata Ramasamy dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramasamy lagi, walaupun penekanan yang diambil oleh kedua-dua pihak berbeza, mereka masih mahukan masyarakat yang egalitarian, adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang masing-masing.
Bagi PKR, katanya, parti itu juga menekankan isu-isu yang menjejaskan segmen masyarakat yang lebih miskin.
"PKR adalah parti berbilang kaum yang mahukan masyarakat lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
"Ia bukan parti elit seperti Umno atau Bersatu, sebaliknya parti yang mempunyai tanggapan egalitarian tentang jenis masyarakat yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
"Meskipun dipisahkan oleh perbezaan khusus, ketiga-tiga parti tetap berkongsi wawasan yang sama tentang masyarakat dengan ketidaksamaan antara kelas dikurangkan, diskriminasi kaum dihapuskan serta rasuah dan penyalahgunaan kuasa politik dibanteras," kata Ramasamy.
Justeru Tambahnya, kerana itulah PSM wajar dimasukkan dalam kerjasama pilihan raya PH
"Bukanlah kerana PSM mempunyai pengikut yang ramai, tetapi ia parti berprinsip yang mungkin meningkatkan imej pembangkang dalam menafikan undi kepada BN."
Minggu lalu, Majlis Presiden PH berkata mereka mengadakan perbincangan dengan PSM mengenai kerjasama pada PRU ke-15 ekoran permohonan yang dikemukakan parti terbabit.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/b847eb48642dfb8b7f709f591a52b0e7.jpg)
