Pemenjaraan Najib Razak sebelum PRU ke-15, kata Ahmad Zahid Hamidi, tidak memberi kegembiraan kepada pembangkang.

Menurut presiden Umno itu, pembangkang tidak mampu bergembira kerana mereka tahu "jasa dan budi" bekas perdana menteri terbabit didakwanya sentiasa bersama masyarakat.

Kata Ahmad Zahid kegembiraan musuh Umno meraikan pemenjaraan Najib tidak akan kekal lama kerana mereka akan sedar tanpa kelibat ahli parlimen Pekan itu pun ia tetap tidak menjadikan BN lemah.

"Mereka meramalkan pemenjaraan Najib akan menamatkan aura 'Bossku' sekali gus melemahkan BN, tetapi sebaliknya yang berlaku.

"BN terus mara. Jasa dan budi 'Bossku' tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran di sebalik kebenaran, sekali gus melonjakkan lagi keyakinan dan kepercayaan majoriti rakyat untuk memberi kemenangan besar kepada BN dalam PRU akan datang," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Najib selepas dia didapati bersalah menyelewengkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Ahmad Zahid berkata kaedah character assassination (pembunuhan karakter) menjadi senjata politik musuh BN untuk 'membunuh' nama baik seteru politik mereka.

"Mereka berharap nama Najib berjaya 'dibunuh' selepas dipenjarakan, namun aura 'bossku' masih jadi sebutan rakyat hingga hari ini menyebabkan lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter 'Bossku' walaupun Najib kini berada dalam tahanan," kata Ahmad Zahid lagi.