Jangan 'pendam' terlalu lama siasatan buku Thomas, kata Zahid
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak berkuasa supaya tidak menyimpan terlalu lama hasil siasatan pasukan petugas khas mengenai buku tulisan bekas peguam negara, Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness”.
Ahmad Zahid berkata, dikhuatiri laporan itu akan mengulangi kontroversi siasatan ke atas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mana hasil siasatannya entah ke mana.
"Jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi `di manakah kertas siasatan kes Mohd Nazlan Mohd Ghazali' boleh berulang.
"Laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas peguam negara `lantikan politik' tersebut.
"Laporan oleh pasukan petugas khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas perdana menteri untuk kepentingan politiknya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Disember tahun lalu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas itu untuk menyiasat buku Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Buku itu merangkumi tugas Thomas sebagai peguam negara dari 2018 hingga 2020. Antara lain, Thomas menyentuh mengenai pelantikan hakim, campur tangan berlebihan oleh eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Pasukan petugas itu diketuai oleh bekas penasihat undang-undang kerajaan Sarawak, Fong Joo Chung.
Dalam hantarannya, Ahmad Zahid turut memuat naik laporan portal berita Malaysiapost yang melaporkan pasukan petugas khas mengesyorkan supaya Thomas disiasat.

Berdasarkan dokumen laporan pasukan berkenaan yang dilihat Malaysiapost, Pasukan Petugas Khas mengesyorkan Jabatan Audit Negara (JAN) serta agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas Jabatan Peguam Negara (AGC).
Tubuhkan RCI
Ahmad Zahid berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Ogos tahun lalu telah meminta supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Thomas.
"RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi peguam negara, kehakiman dan keselamatan.
"Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa peguam negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus," kata Ahmad Zahid.
Kebimbangan juga timbul katanya kerana sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.
"Anggota kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat' bersama Thomas, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi," tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/83117aaa45ad9b93effb3df7f62bb91b.jpg)
