'SPRM perlu berikan butiran rasuah penjawat awam di Pulau Pinang'
Kerajaan Pulau Pinang meminta SPRM menyatakan jumlah kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penjawat awam di negeri itu serta bilangan yang telah didapati bersalah.
Ia selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan kes suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam Pulau Pinang adalah membimbangkan.
Ketua menteri Chow Kon Yeow berkata sementara mereka mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan penjawat awam negeri itu, badan itu juga perlu telus berkenaan perkara itu.
"Kerajaan negeri mahu SPRM bersikap telus dengan mendedahkan bilangan kes yang dibawa ke mahkamah dan bilangan penjawat awam yang didapati bersalah.
"Kami menggesa SPRM bersikap telus kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri terjejas hanya dengan jumlah laporan yang diterima sejak 2019,” kata Chow dalam kenyataan hari ini.
Chow juga berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM untuk memastikan pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan tegas.
“Tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang; dan penjawat awam sama ada dari pihak berkuasa dan agensi Persekutuan, negeri atau tempatan; sesiapa sahaja yang didapati terlibat menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu, perlu disiasat dan didakwa secepat mungkin,” katanya.
Chow mengulas kenyataan Azam semalam yang berkata bahawa kesalahan menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang adalah membimbangkan.
Azam dilaporkan berkata berdasarkan statistik, SPRM menerima 919 aduan mengenai pelanggaran undang-undang berkaitan rasuah di Pulau Pinang sejak 2019 hingga sekarang.
"Kami terima sebanyak 312 maklumat kes penerimaan suapan dan 147 maklumat kes salah guna kuasa di Pulau Pinang," katanya.
Menurutnya, antara lain aduan melibatkan salah guna kuasa jawatan, misalnya pemberian kontrak kerja kepada keluarga, dan membuat tuntutan palsu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/00ed64b0afa0e00f34a5bf9a65a168ee.jpg)
