Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tarikh bubar parlimen: Tunggu dulu pengumuman, kata PM
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Cadangan Umno untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam.

“Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata perdana menteri kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat MT Umno berkata MT Umno mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Ismail Sabri berkata isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baru.

“Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.

Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata:

“Kita dari segi Umno, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat...

"kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah.

"Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS