Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU15: DAP intai kerusi majoriti Melayu di Perak
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 8:31 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

DAP bercadang untuk keluar dari zon selamatnya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan bertanding di kerusi Melayu di Perak.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pada 2018, parti itu telah bertanding dan memenangi kesemua tujuh kerusi parlimen di negeri itu.

“Kami ingin bertanding di kerusi tambahan di Perak di peringkat parlimen dan juga negeri.

"Sudah pasti kerusi tambahan akan menjadi kerusi majoriti Melayu," kata Loke pada sidang media di Perak semalam.

Tambahnya, rundingan dalam Pakatan Harapan telah berjalan dengan baik dan mereka telah diperuntukkan kerusi tambahan.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan kerusi tambahan itu.

Tujuh kerusi parlimen di Perak yang ditandingi DAP sebelum ini semuanya sama ada kerusi majoriti Cina atau campuran.

Kebanyakan kerusi yang dirundingkan dalam PH adalah kerusi yang ditandingi oleh bekas rakan kongsi mereka Bersatu pada 2018.

PRU14: Bersatu tanding lapan kerusi

Pada tahun itu, Bersatu bertanding lapan kerusi iaitu di Gerik, Lenggong, Larut, Bagan Serai, Bukit Gantang, Tambun, Tapah, dan Pasir Salak.

Dari lapan kerusi ini, Bersatu hanya menang di Tambun.

Sebelum 2018, Tambun, Tapah, Bagan Serai, dan Pasir Salak adalah kerusi yang akan ditandingi PKR - dan berkemungkinan parti itu mahu menuntut semula kerusi tersebut.

Kerusi lain yang ditandingi Bersatu pada 2018 - Gerik, Lenggong, Larut, dan Bukit Gantang - ditandingi oleh PAS - mungkin dibahagikan antara DAP dan Amanah.

DAP baru-baru ini menubuhkan sebuah cawangan di Parit - disebut-sebut sebagai cawangan Melayu paling ramai ahli - tetapi kerusi itu ditandingi oleh Amanah pada pilihan raya umum sebelum ini, walaupun pertukaran masih boleh dilakukan.

Mengenai cawangan Melayu dalam DAP, Loke berkata parti itu akan menubuhkan lebih banyak cawangan sedemikian di mana-mana sahaja yang dilihat memiliki potensi besar.

DAP sering ditohmah oleh pesaing politiknya sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Bagaimanapun, parti itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini berusaha untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu dalam pilihan raya dan meletakkan mereka dalam jawatan kepimpinan, dalam usaha untuk menghilangkan tanggapan ini.

Lihat Komen
ADS