PAC mahu kabinet pantau GLC dan Khazanah Nasional
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet bagi memantau keputusan yang dibuat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Khazanah Nasional.
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet bagi memantau keputusan yang dibuat oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Khazanah Nasional.
Pengerusinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, langkah itu akan membolehkan kerajaan mempunyai "pengawasan politik" atas perjalanan firma-firma ini, kata hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata,penubuhan jawatankuasa tersebut, sangat diperlukan kerana ia bukan sahaja untuk memantau prestasi GLC, malah memperhalusi peranan mereka dalam pembangunan negara.
"Jawatankuasa kabinet juga boleh memantau konsesi yang diberikan oleh kerajaan kepada beberapa syarikat serta prestasi GLC yang telah diswastakan...
"kita perlu memastikan pelaburan kerajaan dikendalikan dengan sempurna," katanya selepas mendengar taklimat oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Mohamed Nor Yaacop kepada PAC semalam.
Pada keseluruhannya, kata Shahrir, GLC dan Khazanah Nasional melibatkan kira-kira RM114 bilion dana kerajaan.
Pelaburan besar
Memandangkan jumlah yang besar itu, tambah Shahrir, jawatankuasa kabinet perlu dibentuk bagi memantu kemajuan mereka.
"Kita sudah ada jawatankuasa kabinet bagi pelaburan berimpak tinggi. Namun jawatankuasa ini hanya menangani industri tertentu sahaja.
"Kita perlukan sebuah jawatankausa bagi memastikan GLC berada pada landasan yang betul," katanya lagi.
Mengenai taklimat itu, Shahrir berkata pelbagai isu dibincangkan termasuk pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, pekerjaan bagi bukan bumiputera dalam GLC, penggabungan antara ECM Libra can Avenue Capital milik kerajaan.
"Kami juga bangkitkan isu syarikat-syarikat kerajaan yang diswastakan tetapi gagal dalam perusahaan masing-masing... menghidupkan syarikat-syarikat ini memerlukan kerajaan mengeluarkan lebih banyak wang.
"Kami juga bertanyakan konsesi-konsesi kerajaan yang diberikan kepada syarikat swasta yang disenaraikan dan sejak disenaraikan, warga asing boleh membeli syarikat-syarikat, memperoleh kelebihan daripada konsesi kerajaan," katanya.
ECM Libra
Beliau berkata penggabungan antara ECM Libra dan Avenue Capital, Menteri Kewangan telah menjelaskan bahawa tiada ada apa-apa yang luar biasa mengenai usaha sama itu memandangkan ia sudah memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC).
"Untuk berkata kami berpuas hati (terhadap penjelasan yang diberi), tidak tepat kerana PAC melibatkan wakil daripada pelbagai parti politik. Kami mempunyai tahap kepuasan yang berbeza. Kerajaan berpendapat bahawa memandangkan SC tidak mempunyai halangan dan majoriti pemegang saham
kedua-dua syarikat mahu bergabung, penggabungan perlu dilakukan tanpa campurtangan," kata Shahrir.
PAC, katanya, tidak dapat memantau GLC kerana ia berperanan sebagai penasihat dan bukan pembuat keputusan.
"Kami ada peranan untuk bertanya tetapi bukan untuk membuat keputusan... kami tidak melaksanakan keputusan yang dibuat oleh kabinet tetapi melihat kesan terhadap keputusan yang dibuat. Jika ada kekurangan (dalam keputusan) baru kami memberi nasihat," katanya.
Menurutnya, cadangan pembentukan jawatankuasa kabinet bagi memantau GLC dibuat kerana PAC mahu kerajaan lebih berhati-hati dalam mengesan prestasi syarikat-syarikat terbabit.
Sambil mengakui wujud kelemahan dalam sistem bagi memantau GLC sedia ada, Shahrir berkata kekurangan ini perlu dibetulkan kerana ia melibatkan wang awam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.