Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU15 musim banjir: 'Kalau betul rakyat marah, biarlah' - Saravanan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan hari ini menyoal pembangkang yang menggunakan isu musim banjir sebagai alasan untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya umum ke-15.

Menteri sumber manusia itu berkata jika kerajaan membuat keputusan yang tidak baik dengan mengadakan pilihan raya semasa musim banjir yang hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat maka pembangkang yang akan mengaut manfaatnya.

"Saya pelik, takkan pembangkang ini baik sangat. Kalau kerajaan hari ini buat kesilapan besar adakan pilihan raya masa banjir, kalau betul-betul rakyat marah, biarlah rakyat marah.

"Itu akan memihak pada pembangkang apa? Mereka (pembangkang) takkan tiba-tiba nak jaga kepentingan kita? Ini adalah sandiwara politik.

“Sebab mereka takut rakyat takkan undi kepada pembangkang sebab dah lihat 22 bulan 'menderita'," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini selepas sesi taklimat khas isu kekurangan pekerja asing di Malaysia bersama beberapa pimpinan DAP.

Saravanan sebaliknya mendakwa bahawa alasan pembangkang menggunakan isu banjir itu cuma kerja Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang digelarnya sebagai "insan ajaib".

"Bila ada saja pilihan raya, dia akan muncul, dia akan kelirukan rakyat. Tapi apabila negara hadapi Covid-19 kalau dia begitu pandai, cerdik, di manakah dia masa itu?

"Bagilah idea-idea yang bernas,” kata Saravanan.

Siapa kata nak buat PRU15 masa banjir?

Sementara itu, ahli parlimen Tapah menafikan spekulasi pilihan raya akan berlangsung ketika musim banjir.

"Soal pokoknya siapa kata kita nak adakan pilihan raya masa banjir.

“Kita lihat MetMalaysia kata mungkin banjir lepas 15 November hingga Januari.

"Kalau esok lusa palrimen bubar, pilihan raya diadakan sebelum minggu pertama atau kedua November, kita masih selamat tiada masalah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS