Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sedia hadapi PRU15, lantik penyelaras 22 Parlimen Selangor

Perikatan Nasional (PN) telah melantik penyelaras di kesemua 22 kerusi Parlimen di Selangor, dengan Bersatu dan PAS masing-masing menyelaraskan sembilan kerusi manakala Gerakan dengan empat kerusi.

Namun, menurut pengerusinya Muhyiddin Yassin, pelantikan itu tidak semestinya mencerminkan calon yang akan diletakkan di kawasan tersebut pada PRU15.

"Mungkin ketua penyelaras dari Bersatu tapi tak semestinya calon dari Bersatu.

"Atau jika koordinator dari PAS, tak semestinya calon dari PAS sebab kita belum lagi putuskan (soal itu)," katanya dalam acara makan malam PN Selangor di Shah Alam, semalam di mana dia menyerahkan surat pelantikan kepada penyelaras yang dilantik.

Muhyiddin berkata mereka yang dilantik - termasuk penyandang di kawasan itu - akan bertanggungjawab dalam soal pentadbiran, termasuk menyelaraskan kempen pilihan raya PN.

Antara yang dilantik adalah Ketua Bersatu Selangor Abdul Rashid Ashaari (Kapar), Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat) dan Ketua Gerakan Selangor Ang Chin Tat (Puchong).

Dua ahli parlimen Bersatu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Muslimin Yahya (Sungai Besar) turut dilantik menyelaraskan kawasan masing-masing. Adun Gombak Setia Hilman Idham pula dilantik sebgai penyelaras Parlimen Gombak.

Ketika ditemui pemberita selepas acara itu, Muhyiddn berkata persetujuan awal telah dicapai untuk pelantikan itu dan perbincangan lanjut akan dibuat berkenaan pengagihan kerusi.

Diminta mengulas berkenaan spekulasi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk menasihatkan agar Parlimen dibubarkan, Muhyiddin berkata perancangan PN, termasuk rundingan kerusi, akan berjalan seperti yang telah dirancang.

"Saya sebut tadi yang kita dah mula rundingan kerusi, kita akan selesaikan semua sekali.

"Saya tak boleh andaikan sama ada (berlaku) pembubaran atau tidak," katanya.

Berkenaan manifesto PN bagi PRU15, dia berkata jawatankuasa telah ditubuhkan untuk merangka satu perancangan lima tahun dan ia akan dibentangkan selepas PRU ditetapkan.

'Musuh menyerang PN'

Ketika acara itu, Muhyiddin dan pemimpin parti komponen PN dalam ucapan mereka membayangkan dakwaan usaha untuk melemahkan hubungan antara parti dalam gabungan itu.

"Musuh kita lihat kita sebagai ancaman. Mereka takut kita, jadi mereka cuba pecahkan kita," katanya.

Katanya, tiada rahsia dalam kalangan parti komponen PN, termasuk soal perbincangan PAS dan Umno.

"Tiada yang disembunyikan di kalangan kita...ini menunjukkan kejujuran kita sebagai pemimpin PN," katanya lagi.

Yunus pula memetik laporan media yang memetik sumber semalam, yang mendakwa ada ketegangan antaran PAS dan Bersatu ekoran rasa tidak puas hati berkenaan pelantikan penyelaras.

"Ada yang dakwa PAS boikot (acara)...Bagaimana kita boleh boikot PN? Kita salah satu pengasasnya," katanya.

Begitu juga dengan Azmin Ali, yang merupakan Pengerusi PN Selangor, yang berkata kepelbagaian dalam PN digeruni seteru mereka, yang menjadi punca berlakunya usaha memecah-belahkan gabungan.

"Ada usaha untuk pecah-belahkan PN kerana mereka tahu kepelbagaian bukan masalah bagi kita.

"Kepelbagaian dalam PN sebenarnya adalah aset amat besar bagi PN. Sebab itu musuh-musuh kita takut. Hari-hari kita diserang. Bila kita diserang, maknanya kita kuat," katanya.

Lihat Komen
ADS