Bendahari Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa banyak projek yang dirancang oleh BN sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 sama ada ditangguhkan atau dibatalkan oleh Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu berkuasa.

Tengku Adnan mendakwa Putrajaya, yang merupakan parlimen yang diwakilinya, adalah salah satu tempat yang "terjejas".

“Yang paling saya sedih sekali apabila saya cuba selesaikan berkaitan pengangkutan bas di Putrajaya iaitu NadiPutra tapi malangnya apabila BN kalah dalam kerajaan Persekutuan, apa yang dilakukan oleh PH ialah batalkan apa yang telah saya rancangkan.

“Macam-macam yang telah mereka batalkan sedangkan ianya telah dirancang dengan baik oleh BN sebagaimana perumahan yang bawah harga RM80,000 untuk penjawat-penjawat awam di sini pun mereka tidak lanjutkan," katanya seperti dilapor Umno Online

Dakwanya lagi, projek yang dihentikan itu termasuk sebuah sekolah rendah agama di Presint 16, dan empat 'surau', yang menurutnya telah mendapat kelulusan kewangan untuk diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, selepas rundingan, telah dipersetujui bahawa projek 'surau' boleh diteruskan, dengan syarat separuh daripada kos itu ditanggung oleh penduduk tempatan.

“Mereka tidak menggunakan akal fikiran… mana masuk akal kerana penduduk di sini adalah penjawat awam, berapa sangat gaji mereka. Jadi puak-puak PH ini tak faham. Itulah masalahnya.

“Mereka juga buang penjawat awam kerana katanya penjawat awam ini seperti biawak hidup. Ini satu masalah lagi. Saya dah ingatkan berhati-hatilah terhadap puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini,” kata ketua Umno Bahagian Putrajaya itu.

Dakwanya lagi, BN adalah satu-satunya gabungan yang 'benar-benar' mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

"BN banyak berbudi kepada rakyat, memberikan kemudahan dalam menyelesaikan kekangan rakyat termasuklah pendidikan dan perumahan misalnya sekolah agama rakyat yang diperlukan di sini telah dibangunkan malah perumahan PR1MA yang pertama di Malaysia adalah di Putrajaya," katanya lagi.