Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | Malaysia berjaya harungi semuanya, kata Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan kali ini merupakan yang terakhir sebelum parlimen dibubar untuk memberi laluan pilihan raya umum (PRU) ke-15, justeru ia dijangkan dipenuhi dengan habuan.

Malaysiakini membawakan anda kemas kini secara langsung pembentangan belanjawan.


‘Malaysia berjaya harungi semuanya’

6.10pm: Tengku Zafrul mengakhiri ucapan pembentangan belanjawan hari ini dengan dengan menyatakan, walaupun tempoh dua tahun lalu penuh dengan ketidaktentuan, Malaysia berjaya mengharungi semuanya.

“Hari ini, jalan raya kembali sesak dan anak-anak kita bersekolah. Sempadan kita kembali sibuk.

“Kini, kita berdepan dengan faktor global tetapi kerajaan akan tetap teguh dan akan menyokong mereka yang memerlukannya,” katanya.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, menteri kewangan hanya mendapat sedikit kecaman daripada pembangkang.


Menggalakkan penggunaan EV

6pm: Kerajaan sedang melancarkan beberapa insentif untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV). Ia termasuklah melanjutkan pengecualian cukai eksais dan duti import untuk EV yang diimport sehingga akhir 2024.

Yuran permit yang diluluskan untuk EV akan dikecualikan sehingga akhir 2023.

Akhir sekali, kata Tengku Zafrul, pembuatan peralatan pengecasan EV akan layak mendapat pengecualian cukai 100 peratus untuk tahun taksiran 2023 hingga 2032.


Dana pembangunan untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan

5.55pm: Sabah dan Sarawak telah diperuntukkan masing-masing RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion dalam dana pembangunan.

Ini merupakan peningkatan masing-masing sebanyak 21.15 peratus dan 17.39 peratus.

Dana ini akan dibelanjakan untuk infrastruktur air, elektrik, jalan raya, penjagaan kesihatan dan pendidikan.


Projek MRT3 telan belanja RM50.2 bilion

5.45pm: Projek MRT3 akan menelan kos RM50.2 bilion.

Melibatkan 50.8 kilometer, projek itu akan menelan kos hampir RM1 bilion setiap kilometer.

Fasa 1 dijangka siap pada 2028 dan Fasa 2 pada 2030.

Kerajaan dijangka membelanjakan RM3.3 bilion untuk projek ini pada 2023.


Manfaat untuk penjawat awam

5.35pm: Kerajaan akan mengurangkan kos pembiayaan bagi penjawat awam yang membeli komputer dan telefon pintar kepada dua peratus setahun, turun berbanding 4 peratus ketika ini.

Guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun layak mendapat cuti khas selama 15 hari, berbanding lima hari ketika ini. Ini dijangka memberi manfaat kepada 500,000 guru.

Semua penjawat awam dari Gred 11 hingga Gred 56 akan menerima kenaikan khas RM100.

Semua penjawat awam bawah Gred 56 akan menerima wang tunai RM700 manakala pesara penjawat awam menerima RM350.

Bonus Aidifitri untuk penjawat awam ditetapkan pada kadar RM600.

Ini bermakna, penjawat awam yang berkelayakan boleh menerima manfaat sehingga RM2,500 tahun depan.


Petronas janjikan RM2b untuk KWAN

5.25pm: Petronas menjanjikan RM2 bilion untuk Tabung Amanah Negara (KWAN).

Petronas merupakan penyumbang tunggal kepada KWAN. Sehingga wabak Covid-19 melanda, ia hanya digunakan sekali untuk Projek Malaysia Wetland Sanctuary di Ulu Langat.

Pada 2021, Putrajaya mengeluarkan RM3.3 bilion daripada KWAN untuk membiayai vaksin Covid-19.

“Kerajaan menyeru lebih banyak entiti menyumbang ke dalam KWAN bagi manfaat negara di hari muka,” katanya.


Pengecualian cukai untuk pemeriksaan perubatan dan rawatan pergigian

5.22pm: Pengecualian cukai untuk rawatan perubatan termasuk pemeriksaan kesihatan dan rawatan pergigian.

Jumlah maksimum yang dikecualikan ialah RM1,000 untuk tahun 2023.


Rangsangan besar untuk KKM

5.20pm: Kementerian Kesihatan Malaysia diberi peruntukan RM6.1 bilion, atau pertambahan sebanyak 11.4 peratus.

Kata Tengku Zafrul, Covid-19 masih menjadi masalah kepada negara dan oleh itu kapasiti kesihatan awam negara perlu dipertingkatkan.

Kerajaan juga, katanya, akan memberikan pengecualian cukai ke atas produk terapi penggantian nikotin bagi menggalakkan perokok menghentikan tabiat itu.


RUU tanggungjawab fiskal 'tahun ini'

5.15pm: Kecuali berlaku keadaan yang tidak dijangka, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal 2022 dalam sidang sekarang.

Bagaimanapun, kenyataan Tengku Zafrul itu diiringi dengan senyumannya, dipercayai ada kaitan dengan khabar angin yang semakin kuat bertiup mengenai pembubaran parlimen tidak lama lagi.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan fiskal negara.


Merangsang industri pelancongan

5.10pm: Agensi pelancongan yang mengendalikan 200 pelancong asing atau 400 pelancong domestik akan layak mendapat pengecualian cukai 100 peratus.

Pengusaha pelancongan yang perlu mendapatkan kereta atau bas pula layak mendapat diskaun cukai eksais 50 peratus jika mereka membeli kenderaan CKD.


Bantuan buat PKMS

4.50pm: Untuk membantu penjaja kecil berniaga, kerajaan memberikan geran one-off RM1,000 kepada semua syarikat dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dan pemandu teksi berdaftar.

Sebanyak RM1 bilion peruntukan disediakan dan dijangkakan seramai sejuta perniagaan akan menerima manfaat.


Duti setem untuk penstrukturan semula pinjaman

5.00pm: Kerajaan bercadang melaksanakan pengecualian 100 peratus untuk duti setem bagi semua penstrukturan semula pinjaman bank untuk perniagaan sehingga 2024.

Langkah itu dibuat untuk membantu perniagaan bangkit semula.


Duti setem kadar rata untuk pemindahan harta antara keluarga

4.50pm: Mulai 2023 dan seterusnya, pemindahan surat ikatan harta antara ahli keluarga akan menelan kos pada kadar rata RM10.

Ketika ini, pemindahan surat ikatan tertakluk kepada diskaun 50 peratus.


Diskaun bayaran balik PTPTN

4.45pm: Kerajaan akan menawarkan diskaun untuk pembayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) dalam tempoh enam bulan mulai 1 Nov tahun ini. Tawaran diskaun berperingkat adalah seperti berikut:

Penyelesaian penuh - diskaun 20 peratus

Penyelesaian separuh - 15 peratus diskaun

Daftar untuk pembayaran melalui potongan gaji automatik - diskaun 15 peratus.

Mereka yang lulus dengan kepujian kelas pertama akan dikecualikan daripada membayar balik pinjaman PTPTN.


Bantuan untuk pelajar kurang berkemampuan

4.42pm: Keluarga berpendapatan kurang RM3,000 akan menerima RM150 di bawah skim Bantuan Awal Persekolahan (BAP), meningkat berbanding RM100 sebelum ini.

Tiada had pada bilangan anak bagi setiap keluarga untuk melayakkan diri untuk skim ini. Zafrul berkata pembayaran akan dibuat pada Januari.

Program Makanan Tambahan (RMT) akan diberi rangsangan. Kerajaan kini akan membelanjakan RM3.50 untuk pelajar di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM2.50) dan RM4 untuk pelajar di Malaysia Timur (naik daripada RM3.00).

Program ini juga akan diperluaskan kepada lebih ramai pelajar dan lebih ramai pembekal. Program ini akan menelan belanja RM777 juta tahun depan, meningkat daripada RM280 juta pada 2020.


Insentif mengambil kumpulan terpinggir bekerja

4.40pm: Kerajaan akan meneruskan skim pengambilan pekerja untuk menggalakkan peluang pekerjaan bagi golongan terpinggir.

Ini termasuk orang kurang upaya, bekas banduan, Orang Asli dan wanita yang menyertai semula tenaga kerja.

Majikan boleh menuntut antara RM600 dan RM750 selama tiga bulan di bawah skim ini.


Had caruman KWSP sukarela dinaikkan

4.37pm: Caruman KWSP sukarela akan dinaikkan kepada RM100,000 setahun, meningkat daripada RM60,000 ketika ini.

Zafrul berkata langkah ini perlu untuk membantu rakyat Malaysia dengan simpanan persaraan mereka.


Subsidi caruman Perkeso untuk pekerja ekonomi gig

4.35pm: Pekerja ekonomi gig seperti e-hailing akan dapat menikmati 80 peratus subsidi kerajaan untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mereka.

Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan semua sektor buruh dilindungi oleh Perkeso.

Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mewajibkan caruman Perkeso untuk keseluruhan pasaran kerja secara berperingkat.

Kredit e-dompet untuk belia

4.30pm: Mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun dan mana-mana pelajar sepenuh masa melebihi 21 tahun akan boleh menuntut RM200 dalam e-dompet mereka di bawah program ePemula.


Manfaat golongan ibu

4.28pm: Ibu yang layak menerima skim Bantuan Keluarga Malaysia boleh menuntut RM500 secara tunai sekiranya mempunyai anak yang lahir pada 2023.

Pengecualian cukai dinaikkan kepada RM3,000 untuk penjagaan anak.


Kredit e-dompet untuk M40

4.25pm: Mereka dalam kategori M40 (pendapatan tahunan bawah RM100,000) boleh menuntut kredit RM100 dalam e-dompet. Ini akan memberi manfaat kepada 8 juta orang.


Potongan cukai pendapatan

4.20pm: Seseorang yang berada dalam kumpulan cukai RM50,001 hingga RM100,000 akan diberikan pengurangan cukai sebanyak 2 peratus.

Kerajaan menjangkakan 1 juta pembayar cukai mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.


Bantuan tunai

4.15pm: Keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak menerima bantuan tunai dengan jumlah bergantung kepada saiz keluarga.

* Lebih daripada lima kanak-kanak: RM2,500

* Seorang hingga empat kanak-kanak: RM1,000 hingga RM2,000

* Warga emas bujang: Sama ada RM350 atau RM600

Mereka yang berada dalam senarai e-Kasih akan menerima subsidi elektrik sebanyak RM40.


KDNK dijangka berkembang

4.12pm: Kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus hingga 5 peratus tahun depan.

Tengku Zafrul menyifatkan anggaran pertumbuhan "sederhana" itu disebabkan oleh tekanan global.


4.05pm: Belanjawan tahun ini bernila RM372.3 bilion, atau bertambah 12 peratus dari tahun lalu. Ia menjadikan belanjawan 2023 merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah.

Jumlah belanjawan untuk 2023: RM372.30 bilion (↑ 12 peratus, 2022: RM332.1 bilion)

Perbelanjaan operasi: RM272.3 bilion (↑ 16.6 peratus, 2022: RM233.5 bilion)

Perbelanjaan pembangunan: RM95.1 bilion (↑ 26.8 peratus, 2022: RM75 bilion)

Unjuran defisit untuk 2023: 5.5 peratus (2022: 6 peratus [anggaran])


4.00pm: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil berbaju Melayu biru di parlimen untuk membentangkan Belanjawan 2023.

[Laporan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa]

Lihat Komen
ADS