Spekulasi mengenai pembubaran parlimen terus diperkatakan meskipun perhatian tertumpu kepada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada petang ini.

Ini termasuklah kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini yang memberi bayangan parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Menerusi ciapan di Twitter, timbalan presiden PAS itu berkata, sarapan bersama kakitangan Unit Komunikasi Korporat (UKK) di kementerian itu pagi ini mungkin menjadi 'sarapan terakhir’ bersama mereka.

"Saya dijemput oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) KASA untuk sarapan pagi bersama.

"Sarapan terakhir bersama agaknya," katanya dalam ciapan tersebut.

Difahamkan sarapan pagi itu disediakan sebelum Tuan Ibrahim menghadiri mesyuarat kabinet.

Dalam pada itu, dalam rakaman video yang disiarkan di Twitter, Tuan Ibrahim turut berterima kasih kepada kakitangan UKK yang banyak membantu pelaksanaan program di kementerian itu.

Bercakap kepada kakitangan terbabit, Tuan Ibrahim berkata terdapat khabar angin mengatakan parlimen dibubarkan tahun ini.

"Tapi bila tahun ini, kemungkinan sebelum Monsun Timur Laut pada bulan November, terpaksa mengundi sebelum November, atau pertengahan November.

"Jadi kalau lewat pun tak sesuai kerana banjir, sekarang pun hujan tiap-tiap hari,” katanya.

Umno pada Jumaat lalu memutuskan pilihan raya umum akan datang mesti diadakan tahun ini, dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Semalam, Ismail menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara namun dilaporkan bahawa tarikh pembubaran parlimen tidak dibincangkan dalam majlis menghadap berkenaan.