Kadar inflasi diunjurkan berada antara 2.8 peratus hingga 3.3 peratus menjelang 2023, menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang disiarkan hari ini.

Unjuran tersebut berdasarkan harga komoditi yang stabil serta langkah beransur-ansur ke arah mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.

Menurutnya, inflasi untuk keseluruhan tahun dijangka mencatat 3.3 peratus.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.1 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022 disebabkan oleh tekanan ke atas harga beberapa item makanan segar yang berpunca daripada kos input yang tinggi susulan kenaikan harga komoditi bukan tenaga.

“Daripada keseluruhan IHP, inflasi makanan dan minuman bukan alkohol (makanan) mencatat 5.1 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2022 berbanding 1.4 peratus yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2021,” katanya.

Bagaimanapun, MoF berkata peningkatan inflasi makanan telah dibendung oleh kawalan harga sedia ada dan penyediaan subsidi bagi item makanan terpilih.

Di samping itu, menjelang 2023 IHPR dijangka menyederhana melalui sumbangan kos input global yang stabil.

Katanya, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) berdasarkan pengeluaran tempatan menokok 10.2 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2022 disebabkan oleh harga komoditi global yang lebih tinggi terutamanya minyak mentah dan gas asli.

Berdasarkan sektor, kenaikan IHPR didorong oleh pertambahan ketara dalam sektor perlombongan (21.1 peratus); pertanian, perhutanan dan perikanan (14.1 peratus) serta pembuatan (9.1 peratus). “Indeks ini dijangka stabil pada keseluruhan tahun berikutan normalisasi pertumbuhan dalam kos input,” katanya.

MoF berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan global termasuk melaksanakan dasar dan inisiatif pembaharuan yang bersesuaian untuk mengukuhkan ekonomi serta kedudukan fiskal bagi mendepani potensi kejutan luaran, menambah baik taraf hidup rakyat dan meningkatkan daya tahan perniagaan.

- Bernama