Negara menua: K'jaan akan tingkatkan ekosistem warga emas
Kerajaan akan terus mempertingkatkan ekosistem warga emas dengan mengambil kira Malaysia menuju menjadi negara menua menjelang 2050 apabila penduduknya yang berumur 65 tahun ke atas dijangka melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan 7.3 peratus daripada jumlah penduduk akan mencapai umur 65 tahun ke atas pada 2022 sekali gus meningkat dengan kadar lebih pantas daripada jangkaan awal (2030).
Justeru, kerajaan akan membina lebih banyak pusat jagaan warga emas dan menaik taraf bandar supaya menjadi lebih mesra warga emas pada masa hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
"Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya akan diperluas," menurut laporan itu.
Kerajaan juga akan menggalakkan warga emas mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat kerana ia membolehkan golongan itu terus produktif dan memperoleh pendapatan sendiri di samping menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat melalui kemahiran, pengetahuan, pengalaman serta kepakaran.
Menurut laporan itu, memandangkan kumpulan umur bekerja semakin berkurangan dan golongan tua semakin meningkat, kerajaan dijangka memperuntukkan lebih banyak sumber terutamanya ke arah program berkaitaan pencen, kesihatan dan tempat tinggal.
Tidak dinafikan bahawa penduduk menua akan memberi implikasi kepada perbelanjaan kerajaan khususnya bagi menyokong pelbagai program sosial dan kemudahan lain yang berkaitaan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM28 bilion untuk perbelanjaan pencen melibatkan lebih kurang 887,000 pesara awam dengan RM7.9 bilion atau 28.3 peratus mewakili bayaran bagi individu berumur 65 tahun ke atas pada 2021.
Katanya jumlah bayaran pencen dianggar RM22.3 bilion pada 2030 iaitu hampir tiga kali ganda daripada komitmen pencen semasa dengan andaian perbelanjaan pencen bagi pesara yang berumur 65 tahun akan terus meningkat pada kadar purata tahunan 12.1 peratus.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan kewangan RM500 sebulan kepada warga emas yang layak di bawah program Bantuan Warga Emas (BWE) di mana RM823.8 juta telah diagihkan kepada 139,400 penerima pada tahun lepas.
Kerajaan turut menyediakan bantuan kewangan untuk rawatan kesihatan, perubatan dan peralatan; bantuan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan insentif seperti pelepasan cukai untuk melakukan vaksinasi yang dibiayai sendiri serta pemeriksaan perubatan penuh termasuk kesihatan mental.
Laporan itu juga menyebut kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat usia dan isi rumah daripada kumpulan warga emas yang semakin bertambah.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/07/fbe95884ddf82b242884c3d95a2404cb.jpg)
