Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timb menteri pertahanan lapor polis terhadap Rafizi
Diterbitkan:  Oct 7, 2022 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan kontrak ketenteraan bernilai RM854 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ikmal berkata laporan polis terhadap Rafizi dibuat Setiausaha Sulit Kanan, Mohammad Iskandar bagi pihaknya di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Laporan itu adalah berhubung tindakan Rafizi Ramli memuatkan satu artikel dalam Facebook beliau pada 6 Oktober 2022 bertajuk ‘’Batal niat surat anugerah kontrak meriam SPH kepada syarikat ada kaitan anak menteri” yang mengaitkan nama saya dengan sebuah syarikat iaitu MA Analytics Sdn Bhd.

"Ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baik saya. Sebagai timbalan menteri pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan/mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

"Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baru mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam Rafizi dalam satu kenyataan menggesa kerajaan supaya membatalkan Surat Niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak timbalan menteri pertahanan.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan pihaknya mendapati MA Analytics Sdn Bhd didalangi pihak berkepentingan yang ada kaitan dengan Ikmal Hisham.

“Semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan siasatan ke atas individu terbabit dalam MA Analytics Sdn Bhd menunjukkan pemilikan bersama syarikat dengan anak Ikmal Hishamiaitu Ikmal Hadzlan Ikmal Hisham dan isteri Ikmal Hisham iaitu Datin Seri Norihan Ayob,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, Ikmal yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu berkata apa yang dinyatakan Rafizi dalam artikel itu juga adalah tohmahan yang bertujuan merosakkan nama baiknya dan menyemarakkan kebencian orang awam.

"Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

"Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi," katanya.

Ikmal juga turut menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika siasatan dilakukan.

Lihat Komen
ADS