Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada kata putus isu kerjasama PAS-Umno
Diterbitkan:  Oct 8, 2022 3:37 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Mesyuarat PAS hari ini dilihat tidak membuat sebarang keputusan muktamad berhubung kerjasama Umno dan PAS dalam PRU15.

Ia selepas presidennya Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan kekal meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan Umno dan Bersatu.

Abdul Hadi berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhubung kerjasama dengan Umno, di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

"PAS tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan 'komitmen' ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menghadapi PRU 15.

"Seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15," katanya.

Pada 28 September lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu dijangka memuktamadkan keputusan berhubung isu antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu pada awal bulan ini.

"Kita akan bertemu dan ambil kata sepakat apa dia. Sama ada teruskan MN ataupun sebaliknya, tapi PAS harap kita akan bersatu (PAS, Umno dan Bersatu)," katanya ketika itu.

Ia di saat Bersatu dan Umno dilihat tidak akan saling bekerjasama dalam PRU15.

Pada 4 Oktober lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia meletakkan tiga syarat kepada PAS jika parti itu ingin menjalinkan kerjasama, iaitu keluar dari Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi mereka berpisah sepenuhnya daripada PN dan Bersatu.

Abdul Hadi hari ini sebaliknya menegaskan, pihaknya kekal berpandangan perlu ada "keanjalan" dalam rundingan dengan pihak Umno dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.

PAS tidak akan bubar tiga negeri

Sementara itu, mesyuarat PAS hari ini juga memutuskan kerajaan negeri di bawah pimpinan mereka tidak akan dibubarkan sekiranya PRU15 diadakan lebih awal.

"PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran DUN dalam tempoh terdekat.

"Ini bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19," kata Hadi lagi.

Sejak minggu lepas, ada desas-desus yang mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembubaran parlimen dalam tempoh terdekat.

Ia selepas Majlis Kerja Tinggi (MKT) Umno membuat keputusan bahawa PRU15 perlu diadakan tahun ini.

Lihat Komen
ADS