Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parlimen bubar: PM belakangi Deepavali, amaran cuaca - MP
Diterbitkan:  Oct 10, 2022 5:13 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU disifatkan sebagai tindakan membelakangi perayaan Deepavali yang akan disambut dalam masa dua minggu lagi.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata ini kerana pengumuman itu akan menjejaskan suasana perayaan itu nanti.

Dalam kenyataan media hari ini, ahli parlimen Ipoh Barat berkata pembubaran parlimen akan memusnahkan suasana perayaan Deepavali.

"Adalah dikesali bahawa pembubaran Parlimen telah berlaku hanya dua minggu sebelum Deepavali.

"Perayaan Deepavali adalah acara utama bagi penganut Hindu. Saya terkejut apabila perdana menteri tidak mengambil kira kepentingan penganut Hindu di negara ini, ketika membuat keputusan ini," katanya dalam kenyataan.

Ismail Sabri akhirnya menamatkan tanda tanya apabila membuat pengumuman itu dalam satu perutusan khas hari ini.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke- 14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," katanya.

Kulasegaran turut membidas perdana menteri kerana tidak menyentuh amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) berkenaan cuaca dan risiko banjir dalam ucapannya.

"Malaysia menjangkakan hujan lebat tidak lama lagi, yang dijangka menjejaskan kehidupan ramai rakyat. Sesetengahnya terjejas teruk akibat banjir ini dan mengundi akan menjadi perkara terakhir dalam fikiran mereka.

"Fakta bahawa perdana menteri tidak menyebut amaran MET dalam ucapannya juga mengejutkan. Ia menunjukkan betapa dangkalnya perdana menteri dan Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS