Pucuk pimpinan PKR diminta jangan pengaruhi pencalonan bahagian
Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok meminta pucuk pimpinan tertinggi parti itu supaya jangan cuba mempengaruhi bahagian-bahagian PKR yang sedang mengadakan mesyuarat masing-masing, agar mencalonkan individu tertentu bagi bertanding jawatan tinggi parti.
Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok meminta pucuk pimpinan tertinggi parti itu supaya jangan cuba mempengaruhi bahagian-bahagian PKR yang sedang mengadakan mesyuarat masing-masing, agar mencalonkan individu tertentu bagi bertanding jawatan tinggi parti.
Ketuanya, Zamil Ibrahim berkata, kini wujud kecenderungan di kalangan beberapa badan perhubungan PKR negeri untuk mengeluarkan arahan supaya bahagian di negeri mereka mencalonkan individu-individu yang telah ditetapkan mereka.
Sebagai contohnya, kata beliau, badan perhubungan PKR Selangor mengeluarkan kenyataan meminta bahagian-bahagian di negeri itu mencalonkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan presiden dan Syed Husin Ali (timbalan presiden).
Badan perhubungan PKR Pulau Pinang pula, katanya, meminta bahagian-bahagian di negeri itu mencalonkan Anwar untuk jawatan presiden dan Naib Presiden sekarang, Azmin Ali, untuk jawatan timbalan presiden.
"Kita mahu bahagian yang menentukan sendiri pucuk pimpinan PKR selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan oleh pihak parti,"katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.
Sehubungan itu, beliau mempertahankan keputusan PKR Merbok mencalonkan bekas Timbalan Presiden parti itu, Abdul Rahman Othman (foto) bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional PKR di Seremban, Mei ini.
"Abdul Rahman banyak menabur bakti, terutamanya dalam penggabungan PKR dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan sumbangannya semasa menjadi timbalan presiden serta bendahari parti, sebelum meletakkan jawatan dua tahun lalu.
"Bagi PKR Merbok, Abdul Rahman merupakan calon yang paling ideal dan dinamik untuk memimpin parti," katanya ketika dihubungi semalam.
Parti amal demokrasi
Jumaat lalu, mesyuarat PKR bahagian Merbok mencalonkan Abdul Rahman untuk jawatan presiden dan bekas ketua pemuda parti itu, Ezam Mohd Noor sebagai timbalan presiden.
Setakat ini, Merbok merupakan bahagian PKR tunggal yang mencalonkan Abdul Rahman untuk bertanding jawatan presiden.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Azmin Ali mempertikaikan kewajaran bahagian Merbok mencalonkan Abdul Rahman kerana menurutnya, bekas timbalan presiden itu pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak elok mengenai parti.
Zamil berkata, bahagian Merbok juga berpegang kepada prinsip bahawa setiap ahli boleh bertanding sebarang jawatan dalam PKR.
"Azmin tentu maklum bahawa PKR merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya, termasuk dalam pemilihan jawatan," katanya.
Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat menghubungi Abdul Rahman untuk mendapatkan komennya mengenai pencalonannya untuk bertanding jawatan presiden PKR.
Dalam mesyuarat PKR bahagian Merbok, Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dicalonkan untuk jawatan presiden tetapi selepas pengundian dibuat, Abdul Rahman mendapat undi terbanyak.
Bahagian itu juga mencalonkan Datuk S Nallakarupan, Mustaffa Kamil Ayub dan Dr Lee Boon Chye untuk jawatan naib presiden, manakala Badrul Hisham Shaharin pula dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua Angkatan Muda.

