PM kata jangan buang masa buat spekulasi tentang praya
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak, terutama pemimpin politik, supaya jangan terlalu ghairah memikirkan mengenai tarikh pilihanraya umum sehingga melupakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak, terutama pemimpin politik, supaya jangan terlalu ghairah memikirkan mengenai tarikh pilihanraya umum sehingga melupakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
"Tak payahlah buat spekulasi dan jangan buang masa memikirkannya," kata Perdana Menteri kepada wartawan yang membuat liputan lawatan beliau di Yaman semalam.
Menurut laporan Bernama, Abdullah tidak membayangkan kemungkinan pilihanraya diadakan dalam jangka masa terdekat.
"Apa yang lebih penting ialah untuk mencapai apa yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9)," katanya.
Beliau diminta mengulas persiapan oleh pemimpin parti politik, termasuk dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, untuk menggerakkan jentera pilihanraya masing-masing.
Terdapat pihak yang telah mengadakan latihan dari segi mental dalam kalangan ahli parti bagi memastikan mereka bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja pilihanraya umum diadakan.
Sebelum ini, terdapat pakar ekonomi dan ahli akademik yang menyuarakan pendapat kini merupakan masa terbaik untuk mengadakan pilihanraya memandangkan ekonomi negara kukuh dan kenyakinan rakyat kepada kerajaan.
Pasaran saham
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai kejatuhan Bursa Malaysia kelmarin kerana pelabur masih yakin terhadap bursa tempatan.
Selagi ada keyakinan dalam pasaran Malaysia, katanya, para pelabur akan terus melabur.
Pasaran saham Malaysia dan serantau menjunam buat hari kedua kelmarin berikutan penjualan besar saham di China yang merebak ke pasaran seluruh dunia.
Berikutan kejatuhan pasaran, Bursa Malaysia dan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bertindak meyakinkan pelabur bahawa penjualan itu adalah disebabkan faktor luaran sementara asas ekonomi di Malaysia tidak berubah.
Penanda aras indeks komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh 40.63 mata, atau 3.3 peratus, pada 1,196.45, menurun lagi berbanding 2.8 peratus hari sebelumnya. Ia merupakan kejatuhan terbesar dalam satu hari sejak 21 September 2001.
Sentimen negatif itu turut memberi kesan pada ringgit yang susut 0.2 peratus kepada 3.5017 berbanding dolar Amerika, paling rendah sejak 19 Disember tahun lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.