Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Pahang dibubarkan hari ini
Diterbitkan:  Oct 14, 2022 10:49 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Pahang menjadi negeri pertama membubarkan dewan undangan negeri (DUN) selepas pembubaran parlimen diumumkan Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu.

Pengumuman mengenai pembubaran DUN dibuat Menteri Besar sementara, Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media khas di Kuantan, hari ini.

Wan Rosdy ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, dia sudah menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam pada Rabu lalu bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

"Pembubaran DUN dibuat selepas selesai perbahasan Belanjawan Pahang 2023 dan (belanjawan) diluluskan.

"Pembubaran ini adalah selaras dengan Fasal 2(26) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang," katanya.

Wan Rosdy merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang kerajaan Pahang diterajuinya memerintah negeri selama 53 bulan.

Ditanya mengenai peluang BN untuk terus menguasai Pahang, Wan Rosdy berkata, kalau dikira dengan rekod cemerlang pentadbiran sebelum ini, tidak ada masalah untuk BN terus menerajui Pahang.

"Kita mempunyai rekod yang cemerlang, kutipan hasil melebihi RM1 bilion, pelaburan asing lebih RM50 bilion dan jumlah hutang kerajaan negeri berjaya dikurangkan hingga 71 peratus," katanya.

Mengenai calon untuk pilihan raya pula, Wan Rosdy berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS