Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tindakan undang-undang berhubung kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membubarkan parlimen, menurut perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memetik perkara ini dalam permohonan untuk membatalkan tindakan undang-undang oleh penyandang kerusi parlimen Klang Charles Santiago yang meminta PRU15 tidak diadakan pada tahun ini.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri Yaakob dan dua pihak yang lain memfailkan memorandum kehadiran mereka dalam tindakan sivil pemimpin DAP itu.

Beberapa jam kemudian pada petang ini, ketiga-tiga pihak ini melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak memfailkan permohonan membatalkan kes saman sivil itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut kertas kausa, ketiga-tiga defendan berhujah bahawa kuasa Agong untuk membubarkan Parlimen adalah perkara yang "tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikaikan di hadapan mahkamah."

"Kuasa untuk membubarkan sesuatu Parlimen adalah suatu kuasa perogatif YDPA di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan yang mana YDPA boleh mengikut budi bicaranya membubarkan Parlimen tanpa perlu untuk mendapatkan nasihat dari Jemaah Menteri di bawah Perkara 40(1) dan Perkara 40(1A) PP.

"Isu keesahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh Defendan Pertama kepada YDPA pada 9 Oktober 2022 adalah bersifat akademik kerana YDPA telahpun memperkenankan permintaan tersebut di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) PP dan seterusnya membubarkan Parlimen ke-14," kata defendan.

Mereka mendakwa kehakiman selaku "penjaga kepada keadilan" (guardian of justice) perlu memelihara prinsip keperlembagaan mengenai kuasa Agong dalam membubarkan parlimen.

Mereka seterusnya berhujah bahawa mahkamah secara perlembagaan dihalang daripada mendengar cabaran undang-undang berhubung kewajipan SPR di bawah Perkara 55(4) dibaca bersama 113(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen.

Ketiga-tiga defendan juga mendakwa bahawa sebarang cabaran di mahkamah berhubung pengendalian pilihan raya hanya boleh dilakukan melalui petisyen pilihan raya di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Defendan juga memohon perintah mahkamah untuk menanggungkan tindakan undang-undang Charles sementara menunggu keputusan permohonan mereka untuk membatalkan saman pemimpin DAp itu.

Dalam saman sivil berkenaan, Charles memohon pengisytiharan bahawa permintaan Ismail Sabri memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Charles, permintaan untuk membubarkan parlimen tidak dibuat atas nasihat kabinet, dan oleh itu, terbatal dan tidak sah.

Dia memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pembubaran parlimen tidak mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, dan perintah untuk menghalang SPR daripada mengambil sebarang langkah untuk menjalankan pilihan raya.

Dalam afidavitnya, Charles memetik musim hujan dan risiko banjir sebagai alasan untuk menghentikan pilihan raya.

Charles seterusnya mengambil maklum amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai risiko banjir semasa musim tengkujuh pada November dan Disember.

Dalam afidavit itu, Charles menegaskan bahawa banyak parti politik, kecuali Umno, menentang mengadakan pilihan raya tahun ini, kerana risiko banjir.

Kata Charles lagi, ahli parlimen Umno hanya berjumlah 37 daripada 222 Dewan Rakyat, bermakna sokongan untuk pembubaran parlimen cuba membabitkan kira-kira 17 peratus daripada anggota Dewan Rakyat.

Justeru, Charles mempersoalkan kesahihan permohonan Ismail Sabri untuk membubarkan parlimen.

Dalam satu kenyataan kemudian, Charles berkata dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang itu kerana suratnya yang diutus berulang kali kepada SPR untuk meminta rancangan tebatan banjir tidak diendahkan.

Mahkamah menetapkan pendengaran saman pemula itu pada 20 Okt. Bagaimanapun, susulan pemfailan memohon membatalkan saman itu, kini tidak pasti sama ada ia akan diteruskan atau tidak.

Charles diwakili peguam Surendra Ananth.

[Baca berita asal]