Umno Ktan dilanda demam praya umum
Umno Kelantan kini dilanda demam pilihanraya umum. Sehingga ini, sembilan daripada 14 bahagian Umno di negeri itu telah mengemukakan senarai calon pilihan pihak bahagian untuk penilaian badan perhubungan Umno negeri.
Umno Kelantan kini dilanda demam pilihanraya umum. Sehingga ini, sembilan daripada 14 bahagian Umno di negeri itu telah mengemukakan senarai calon pilihan pihak bahagian untuk penilaian badan perhubungan Umno negeri.
Menurut sumber, sembilan bahagian berkenaan ialah Kota Baru, Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Ketereh yang diketuai oleh Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.
Manakala lima bahagian Jeli, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang perlu lmenghantar senarai masing-masing kepada badan perhubungan Umno negeri sebelum akhir bulan ini.
Sumber itu berkata, berdasarkan kepada senarai calon yang dikemukakan oleh bahagian Ketereh, beberapa perubahan dilakukan, termasuk meletakkan Annuar bertanding di Parlimen Ketereh yang kini diwakili Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Alwi Che Mat.
Annuar kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas serta menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Alwi (foto) yang memenangi kerusi Parlimen Ketereh dalam pilihanraya umum 2004, dipindahkan bertanding kerusi DUN Kadok yang terletak dalam kawasan Parlimen Ketereh.
Manakala Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Awang Adek Husein yang juga Ahli Parlimen Bachok dicadangkan bertanding kerusi DUN Jelawat dan tempatnya diambil oleh Adun Jelawat sekarang, Datuk Dr Illias Hussein.
Tanding kerusi negeri
Menurut sumber itu lagi, cadangan meletakkan Awang Adek bertanding kerusi negeri dibuat berdasarkan keyakinan bahawa Umno negeri mampu merampas semula Kelantan dari kerajaan PAS dalam pilihanraya umum kali ini.
PAS memerintah Kelantan dengan hanya kelebihan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti itu mempunyai 23 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 22 kerusi.
Sementara itu, menurutnya lagi, ketua Pemuda Umno negeri, Dali Hussein dicadangkan bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa yang kini diwakili oleh wakil rakyat PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Seorang lagi muka baru ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Kelantan, Drs Suhaili Hussein pula dicadangkan bertanding di Parlimen Tumpat.
Menurut sumber itu lagi, Ketua Umno Pengkalan Chepa, Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang sudah tiga kali kalah di parlimen tersebut, dicadang digugurkan kali ini.
"Kedudukan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Zaid Ibrahim, sama ada dikekal bertanding di kerusi yang sama, akan ditentukan oleh Ibu pejabat parti di Kuala Lumpur," katanya.
Serah pada MCA
Menurut sumber itu lagi, Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dicadangkan bertanding sekali lagi di kerusi yang sama dalam pilihanraya umum akan datang.
Manakala Datuk Che Min Che Ahmad dicadangkan kekal bertanding di Parlimen Pasir Puteh manakala Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor, turut dicadang dikekal di DUN Semerak.
Kerusi DUN Kota Lama yang kini diwakili oleh PAS, dicadangkan dikekalkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA.
Parlimen Rantau Panjang pula dicadangkan diberikan kepada muka baru Mohd Afandi Yusof yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno bahagian tersebut.
Biro politik Umno Kelantan, yang dipengerusikan oleh Annuar, akan mengadakan mesyuarat khas untuk meneliti cadangan senarai calon dari semua bahagian, sebelum menyerahkan kepada ibupejabat Umno untuk keputusan muktamad.

