Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maqis Selangor tahan 23 tan daging beku dari Brazil
Diterbitkan:  Oct 15, 2022 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena berisi daging lembu sejuk beku bernilai RM476,000 dari Brazil kerana tidak memiliki permit import yang sah, Rabu lepas.

Dalam kenyataan hari ini Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata daging seberat 23 tan tersebut cuba dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan namun ditahan di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat.

Katanya pemeriksaan dilaksanakan terhadap kontena tersebut kira-kira jam 10 pagi dan mendapati dagangan yang dibawa masuk itu tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh Maqis.

Mohd Sonri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisme yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS