Bekas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata dia enggan menjelaskan keputusan yang dibuat di luar dewan kerana tidak mahu perkara itu dipolemikkan.

“Saya rasa Speaker tidak sepatutnya menjelaskan di luar Dewan Rakyat apa yang dia buat di sana.

"Kerana saya tidak mahu mempolemikkan keputusan saya. Jika tidak, bagaimana saya hendak menjalankan tugas saya jika saya perlu menjelaskan keputusan saya, setiap satu keputusan saya... saya akan menjelaskannya kepada Ahli Parlimen, melalui surat,” katanya dalam wawancara dengan Astro Awani malam tadi.

Wawancara bertajuk “Art Harun | To the letter of the law” itu merupakan sebahagian daripada siri Consider This yang dihoskan oleh Melisa Idris.

Terdahulu, Azhar diminta menjelaskan keputusannya di Dewan Rakyat yang ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak eksekutif sedangkan dia sepatutnya tidak memihak.

Azhar (di atas) menyamakan tindak tanduknya seperti hakim, di mana keputusan hakim tidak dihebahkan, atau dijelaskan kepada umum.

Dalam wawancacara itu, Azhar juga ditanya mengenai sikapnya yang "berlembut" terhadap Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara, seperti memberikan lanjutan bagi menjawab soalan berkaitan 1MDB ketika bekas perdana menteri itu berkempen di Johor.

Hos berkenaan juga bertanya mengenai kenyataan Azhar bahawa Najib boleh menghadiri sidang parlimensekiranya pihak penjara membenarkannya, walaupun bekas perdana menteri itu kini dipenjarakan selama 12 tahun kerana rasuah.

Hanya ikut undang-undang

Mengulas perkara itu, Azhar berkata berdasarkan perlembagaan persekutuan, kehilangan kelayakan Najib sebagai ahli parlimen Pekan tidak berkuat kuasa sehingga ada keputusan bagi permohonan pengampunan dan semakan kehakiman.

“Disebabkan dia masih ahli parlimen, dia masih boleh datang ke Dewan Rakyat,” kata Azhar sambil menambah dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Najib daripada hadir ke parlimen.

Menurutnya, semua ahli parlimen yang dipilih berhak menghadiri sidang parlimen walaupun hilang kelayakan - sehingga status hilang kelayakan itu berkuatkuasa.

"Isunya sama ada dia (Najib) boleh hadir sendiri. Dan itu bukan dalam domain saya. (Jadi dalam kes ini), untuk hadirkan diri, dia mesti mendapat kebenaran Jabatan Penjara.

"Jadi anda tahu, saya hanya melaksanakan undang-undang," kata Azhar.

Menyentuh mengenai bidang kuasanya, Azhar berkata dia boleh disaman kerana tidak membenarkan Najib menghadiri parlimen jika Jabatan Penjara membenarkannya.

Azhar juga menjelaskan beberapa usul yang dihalang semasa persidangan Dewan Rakyat, dengan mengatakan ia tidak dibenarkan kerana "perbahasan" mengenainya boleh mendedahkan rahsia negara.

[Baca berita penuh]