Dua pemimpin Umno Maran terbunuh bila bas langgar treler
Sebuah bas rombongan Umno bahagian Maran, Pahang berlanggar dengan sebuah treler di kilometer 89.7 Lebuhraya Utara Selatan (dari arah utara) awal pagi ini, mengakibatkan dua pemimpinnya terbunuh dan 18 lagi cedera, termasuk empat parah.
Sebuah bas rombongan Umno bahagian Maran, Pahang berlanggar dengan sebuah treler di kilometer 89.7 Lebuhraya Utara Selatan (dari arah utara) awal pagi ini, mengakibatkan dua pemimpinnya terbunuh dan 18 lagi cedera, termasuk empat parah.
Rombongan 200 pemimpin Umno cawangan dalam bahagian Maran yang menaiki lima buah bas itu,dijadual ke Langkawi untuk menghadiri kursus politik selama empat hari dan ekoran kejadian itu, program itu dibatalkan,
Menurut laporan Bernama, mereka yang terbunuh ialah Naib Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Saiful Bahari Mokhtar, 50, dan pemimpin Umno yang juga ketua Kampung Sentul, Mohamed Kamal Idris, 50.
Empat mangsa yang cedera parah ialah Setiausaha Umno Bahagian Maran Nor Azhar Latif, 45; Setiausaha Kerja Wanita Umno Bahagian Maran, Nor Asnidatul Aida Nordin, 31; dan dua lagi anggota Umno Nor Azhar Abdul Jabar, 32 dan Nor Azman Ismail,40.
Ketua Trafik Kedah Supt Mah Khye Beng berkata, kemalangan itu berlaku jam 4.40 pagi apabila sebuah daripada bas tersebut melanggar belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan besi cerucuk. Pemandu bas tersebut yang berusia lingkungan 30-an tidak cedera dan ditahan untuk siasatan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, beliau sepatutnya berada dalam bas itu tetapi bertukar ke bas lain semasa mereka berhenti rehat di Tapah, Perak pada jam 1.15 pagi.
Luka parah
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah antara yang melawat jenazah dan mangsa yang cedera di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.
Jenazah kedua-dua mangsa diterbangkan ke Maran menggunakan helikopter Nuri melalui pengkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth petang ini.
Seorang penumpang Norehan Abdul Raof, 42, kakitangan pejabat Umno bahagian Maran berkata beliau terkejut daripada lena selepas bas yang dinaikinya itu terbalik selepas berlanggar treler berkenaan.
Beliau ternampak Saiful Bahari yang berada di kerusi bahagian depan bas luka parah dan sempat mendekatinya dan mengajarnya mengucap sebelum pemimpin Umno itu meninggal dunia.
Norehan sendiri cedera di bahagian muka dan khaki.
Rombongan itu berlepas dari Maran jam 8 malam tadi dan dijadual diraikan Shahidan di Kuala Perlis pada jam 10 pagi. Majlis sambutan itu dibatalkan ekoran kejadian berkenaan.
Sementara itu, Mahdzir berkata Badan Perhubungan Umno Kedah menyediakan penginapan bagi anggota rombongan itu di sebuah hotel di Sungai Petani, untuk malam ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.