Bersih: Salah jika beri subsidi tambang dan suruh undi calon tertentu
Badan pemantau pilihan raya Bersih mengingatkan bahawa memberikan subsidi tambang perjalanan yang disertai syarat kepada anak muda Sarawak yang tinggal di semenanjung untuk terbang pulang ke negeri Borneo untuk mengundi semasa pilihan raya umum (PRU15) akan datang adalah satu kesalahan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih berkata ini adalah khusus sekiranya penerima subsidi diminta mengundi calon atau parti tertentu.
"Bersih berpandangan bahawa tindakan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika ia tidak disediakan kepada semua pengundi dan diletakkan syarat untuk hanya mengundi calon atau parti tertentu.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM5000, dihalang untuk mengundi atau menjadi calon selama lima tahun, dan sekiranya telah dipilih menjadi wakil rakyat boleh kehilangan kerusi," katanya.
Bagaimanapun, tambah Bersih, berdasarkan Seksyen 20(5) terdapat pengecualian kepada mereka yang berkongsi kos pengangkutan seperti kongsi kereta atau menyewa bas untuk membawa mereka pulang ke kawasan pengundian.
"Sesiapa sahaja yang menawarkan subsidi untuk membawa pulang pengundi untuk mengundi mesti memastikan bahawa tawaran tersebut dibuka kepada semua pengundi tanpa mengira kecenderungan politik dan keseluruhan proses dan aktiviti mengangkut pengundi itu tidak membawa sebarang tanda calon atau parti yang akan pengaruhi pengundi membuang undi," katanya.
Bersih juga membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan sumber negara oleh kerajaan pimpinan GPS.
“Apabila kerajaan persekutuan atau negeri menawarkan tambang subsidi, isu penyalahgunaan sumber kerajaan semasa pilihan raya bagi mendapatkan kelebihan akan timbul, terutamanya jika mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung untuk menyokong calon kerajaan.
"Ia akan memberikan kerajaan sedia ada kelebihan yang tidak adil dan tidak beretika, namun malangnya undang-undang sedia ada tidak menjadikannya satu jenayah," kata Bersih.
Justeru, Bersih mengajak kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyokong mereka menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi luar kawasan terutamanya pengundi Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung, dan Malaysia Barat yang tinggal di Sabah dan Sarawak, untuk diberi hak sebagai pengundi tidak hadir sebagai undi awal dan mengundi tiga hari sebelum hari pengundian di pusat pengundian mega yang boleh didirikan di setiap negeri.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg memberitahu sidang dewan pada Sabtu lepas bahawa kerajaan negeri mempertimbang pemberian subsidi untuk pengundi negeri itu pulang mengundi pada PRU15.
Perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan pemimpin lain, kata Abang Johari.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/04/940cc59b13af0ada7876f5746cb64130.jpg)
