Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP letak Syahredzan ganti Kian Ming di Bangi?

Dengan penyandang kerusi parlimen Bangi, Ong Kian Ming sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, timbul spekulasi bahawa DAP mungkin meletakkan muka baru bagi kerusi itu.

Satu nama yang digembar-gemburkan ialah Syahredzan Johan, seorang peguam berusia 39 tahun yang juga setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang.

Spekulasi itu dikuatkan lagi susulan ciapan Twitter Ong minggu lalu membayangkan pasukan jentera pilihan raya mereka bersedia untuk menyokong Syahredzan.

"Pasukan P102 Bangi sudah bersedia untuk PRU15!" katanya sambil menanda akaun Twitter @syahredzanTEAM dan akaun peribadi Syahredzan.

Ciapan serupa diulang Ong semalam, disertakan dengan gambarnya bersama Syahredzan dan pasukan pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Bangi.

Akaun Twitter @syahredzanTEAM turut memaparkan gambar dan maklumat mengenai aktiviti harian ahli politik itu bertemu orang ramai di kawasan dalam DUN Bangi.

Ong turut dilihat menemani Syahredzan dalam beberapa aktiviti.

Ketika diminta mengulas mengenai spekulasi itu, Syahredzan berkata terpulang kepada pucuk pimpinan DAP untuk mengumumkan calon pilihan raya.

"Calon-calon yang akan mewakili DAP akan ditentukan oleh jawatankuasa parti. Parti umumkan kemudian dan kita harus menunggu untuk itu," katanya melalui mesej teks.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk menyahut cabaran itu, Syahredzan menjawab: "Akar umbi kami di P102 Bangi sudah bersedia untuk pilihan raya."

Bangi pernah menjadi kerusi MCA sehingga sehinggan Teo Nie Ching memenanginya untuk DAP pada 2008 selepas menerima 47,444 undi untuk mendahului dengan majoriti 21,025 pada PRU ke-12.

Ong mengambil alih bertanding di kerusi itu pada PRU ke-13 pada 2013, dengan mencatatkan kemenangan lebih besar iaitu 79,238 jumlah undi (42,206 majoriti).

Dia mengekalkan kerusi itu pada PRU ke-14 selepas menerima 102,557 undi (68,768 majoriti), menewaskan calon PAS, MCA dan PRM.

Bagaimanapun, pada 9 Mei tahun ini, Ong membuat kejutan apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada politik dan tidak menawarkan diri sebagai calon PRU ke-15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS