Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU tengkujuh: Kalau hujan, pakailah payung - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Oct 19, 2022 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Di tengah-tengah kebimbangan PRU15 akan diadakan pada musim tengkujuh, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pengundi masih perlu keluar mengundi meskipun cuaca mendung.

Menjawab soalan mengenai kesan iklim terhadap peratusan keluar mengundi, Ahmad berkata hujan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak mengundi.

“Bukan ada rusuhan pun, tak pernah ada rusuhan sepanjang 14 kali PRU diadakan di Malaysia, aman damai sahaja.

“Kalau hujan, pakailah payung. Jadi pada saya, mereka perlu keluar mengundi," katanya seprti dipetik Astro Awani hari ini.

Ahmad juga berkata dia menjangkakan jumlah keluar mengundi pada PRU15 boleh mencapai 75 peratus, anggaran lebih rendah daripada 82.32 peratusan rasmi keluar mengundi dalam PRU14 2018 lalu.

Pada PRU14, peratusan keluar mengundi berjumlah 12,229,514 juta pengundi daripada 14,940,624 pemilih berdaftar.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi sebanyak 75 peratus akan mewakili lebih daripada angka PRU14, dengan angka rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya setakat Ogos mencatatkan 21,186,761 juta pemilih berdaftar - lebih sejuta daripadanya dilaporkan akan menjadi pengundi kali pertama berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Pengundi jenis tak kisah

Ahmad berkata anggarannya berdasarkan bilangan pemilih berdaftar yang lebih tinggi, termasuk mereka yang mempunyai cuma "sedikit minat" dalam melaksanakan hak mereka.

"Mereka jenis tak kisah apa berlaku di kiri dan kanan mereka, mungkin malas nak ambil bahagian dalam proses demokrasi jadi saya ramalkan secara peribadi mungkin yang keluar mengundi adalah 75 peratus.

“Mereka yang tak keluar mengundi itu secara tak langsung telah menyerahkan hasrat mereka itu kepada mereka yang keluar mengundi - walaupun itu tidaklah yang setepatnya - tapi kalau mereka tak keluar, itulah yang boleh disangkakan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS