Beberapa lokasi jadi tumpuan susulan peletakan Ismail
Beberapa lokasi termasuk pejabat menteri besar di Seremban menjadi tumpuan pihak media yang menanti perkembangan berhubung kemelut politik Negeri Sembilan.
Ia susulan surat peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan semalam.
Ismail bagaimanapun menerusi mesej ringkas memaklumkan beliau tidak dapat bertemu pihak media buat masa ini.
“Maaf, saya tak dapat berjumpa pemberita buat masa ini, tiada sidang media atau kenyataan media daripada saya, terima kasih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.
Ismail turut memohon supaya semua pihak memberikannya ruang dan masa susulan isu peletakan jawatan berkenaan.
Semalam, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir berkata Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menerima satu salinan surat peletakan jawatan tersebut yang telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail, 67, yang juga Adun Juasseh mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua per tiga.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/c210218c2c679eb533047a1efc484b65.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.