Calon Bebas Batu, Siti Kasim akan sokong PH jika parlimen tergantung
WAWANCARA l Sudah tentu, saya akan bersama Pakatan Harapan dan menyokong kerajaan mereka, kata calon Bebas kerusi Parlimen Batu, Siti Kasim tentang siapa yang akan disokongnya jika terpilih dan Dewan Rakyat tergantung pada pilihan raya umum akan datang.
Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu temu bual eksklusif, peguam itu berkata dia lebih berkemungkinan akan menyokong PH sekiranya calon bebas seperti dirinya dan kumpulan calon Bebas Gerak menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Katakanlah, jika calon Bebas menang, dan jika tiada pihak atau parti yang mahu menubuhkan kerjaan, jadi calon Bebas mempunyai pilihan.
“Kamu fikir saya akan bersama siapa? Adakah kamu fikir saya akan bersama BN atau Perikatan Nasional (PN)? Sudah tentu saya akan bersama PH dan menyokong mereka untuk menubuhkan kerajaan,” kata Siti.

Peguam hak asasi manusia itu menambah bahawa ini di sebalik dia tidak sehaluan dengan gabungan itu dalam isu-isu tertentu.
“Walaupun ada perkara tertentu tentang mereka saya tidak bersetuju tetapi sebenarnya ada lebih banyak tentang mereka yang saya bersetuju.
“Jadi jelas saya akan sokong mereka itu, tetapi itu tidak bermakna saya akan mengikut semua yang mereka katakan. Parti politik ada ketua,” kata Siti, memetik rayuan Pengerusi PH Anwar Ibrahim terhadap undian blok semasa perbahasan Bajet 2021.
Rancangan Siti untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi parlimen Batu pada pilihan raya umum - yang kini ditetapkan pada 19 Nov - didedahkan awal tahun ini.
Tiada rancangan sertai parti politik
Aktivis itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyertai parti mana-mana politik, dan bahawa dia akan bertanding sebagai calon bebas kerana keinginannya untuk bercakap secara bebas mengenai "isu rakyat seharian".
Katanya, jika parti politik di negara ini boleh dipercayai, dia tidak akan bertanding sebagai calon bebas di Batu.
“Jika parti politik kita boleh dipercayai, saya tidak akan tanding sebagai calon Bebas. Mengapa mahu menyusahkan diri sendiri untuk semua ini? Saya perlu memohon dan merayu untuk dapatkan dana. Kamu fikir ini mudah? Ini tidak mudah.

“Ia tidak banyak tetapi cukup untuk saya menjalankan kerja-kerja kempen saya. Saya tidak akan kaya seperti parti politik yang mempunyai jutaan ringgit. Saya tidak dapat berjuta-juta tetapi dengan penganjuran yang betul, kamu boleh jalankan kempen dengan RM50,000.
"Sudah tentu, saya akan gunakan apa sahaja yang ada, buat apa yang mampu," katanya.
Mengenai pembiayaan, dia menjelaskan bahawa pembiayaan kempennya dibiayai oleh rakyat.
“Orang akan kata saya dapat wang daripada Illuminati, Yahudi, Israel, dan macam-macam. Kamu boleh lihat wang yang masuk kerana saya ada akaun khusus untuknya dan pusat perkhidmatan.
"Kita perlu mengaudit itu juga supaya apabila selesai, saya akan terbitkannya," jelasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/7634e40ede70b7a9cbc005571d3efc79.jpg)





